Penyerahan tanah rizab kepada Sabah, Sarawak di peringkat akhir

Armizan (duduk, kanan) bergambar bersama kakitangan Pejabat Mahkamah Anak Negeri Labuan pada program lawatan kerja, pada Sabtu. - Foto Bernama
Armizan (duduk, kanan) bergambar bersama kakitangan Pejabat Mahkamah Anak Negeri Labuan pada program lawatan kerja, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

LABUAN - Proses penyerahan tanah rizab kerajaan Persekutuan di negeri Sabah dan Sarawak kepada kedua negeri itu kini dalam peringkat akhir, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan oleh Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) dan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian akan memuktamadkan garis panduan terlibat.

"Proses memuktamadkan penyerahan tanah rizab Persekutuan (yang dikenal pasti belum dibangunkan sekian lama di Sabah dan Sarawak) kini dalam peringkat akhir, untuk sekiranya kerajaan negeri Sabah dan Sarawak ingin mengambil balik dan dibolehkan dengan garis panduan tertentu,” katanya kepada selepas mendengar taklimat perkembangan penstrukturan Mahkamah Anak Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, pada Sabtu.

Katanya, tuntutan dan hak-hak yang terkandung dalam MA63 selama ini telah banyak dibincangkan dalam pelbagai forum terutama menerusi platform politik.

"Kita bersyukur satu platform khusus secara rasmi, Jawatankuasa Devolution of Authority (JKDA) diwujudkan pada tahun 2016 untuk membincangkan isu-isu berbangkit berkaitan MA63.

"Kemudian ditambah baik kepada Jawatankuasa Khas Kabinet pada tahun 2018 dan diangkat sebagai Majlis Khas MA63 pada tahun 2020 dan diperkasakan lagi pada tahun 2022 di bawah Kerajaan Perpaduan sebagai Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 dan ini membolehkan telah ada rekod perbincangan rasmi yang boleh dijadikan rujukan untuk tindakan seterusnya,” katanya. - Bernama