Pemilik syarikat pemaju perumahan akan dipantau

Saarani (dua dari kanan) melihat model rumah ketika hadir ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri MK Land dan Pelancaran Jualan Rumah Carnelian 2 di Meru Perdana 2, Chemor di sini pada Sabtu.
Saarani (dua dari kanan) melihat model rumah ketika hadir ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri MK Land dan Pelancaran Jualan Rumah Carnelian 2 di Meru Perdana 2, Chemor di sini pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak akan meneliti syarikat pemaju perumahan termasuk pemiliknya yang ingin memulakan projek hartanah bagi mengelak kes rumah terbengkalai berlaku.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, menyenarai hitam syarikat pemaju bermasalah bukanlah penyelesaian terhadap isu berkenaan kerana pemilik boleh mewujudkan syarikat baharu untuk mendapatkan projek.

Menurutnya, isu projek rumah terbengkalai bukanlah perkara baharu kerana sebelum ini telah berlaku.

"Hendak senarai hitam syarikat ini payah sikit, tapi nak senarai hitam tuan syarikat boleh buat. Katakan syarikatnya dah gagal, dia buka baharu dan yang itu kita kena alert.

"Kadang-kadang dia sengaja gagalkan projek pertama selepas kaut keuntungan dan dia tutup kedai, biarkan pembeli sengsara dan dia buat syarikat baharu," katanya kepada pemberita ketika hadir ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri MK Land dan Pelancaran Jualan Rumah Carnelian 2 di Meru Perdana 2, Chemor di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Saarani meletakkan keyakinan terhadap Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi jawatankuasa khas menangani isu projek perumahan terbengkalai yang dibentuk.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan negeri akan menetapkan sasaran baharu bagi membina rumah mampu milik di Perak.

Katanya, pasukan petugas khas dibentuk sedang mengkaji keperluan tersebut.