Calon pengganti Zeti kini di tangan PM

Zeti ketika mengumumkan pengagihan pendapatan dana unit ASB di Menara PNB, Kuala Lumpur pada Disember lalu.
Zeti ketika mengumumkan pengagihan pendapatan dana unit ASB di Menara PNB, Kuala Lumpur pada Disember lalu.
A
A
A

KUMPULAN Permodalan Nasional Berhad (PNB) bakal menerima peneraju baharu dalam masa terdekat apabila kontrak Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sebagai pengerusi institusi pelaburan utama negara itu tidak akan disambung.

Sinar Harian difahamkan, nama pengganti Zeti telah dikemukakan kepada Perdana Menteri untuk kelulusan.

Adalah difahamkan terdapat dua nama yang disyorkan untuk penelitian dan persetujuan Perdana Menteri.

Kedua-duanya adalah kapten industri dan memiliki pengalaman yang luas dalam bidang pelaburan. Pelantikan pengerusi baru ini akan memberi dimensi baharu kepada PNB.

Zeti yang merupakan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) dilantik sebagai pengerusi PNB pada 1 Julai 2018 ketika Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara daripada Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau menggantikan tempat Tan Sri Abdul Wahid Omar yang memikul amanah bagi jawatan tersebut sejak 1 Ogos 2016.

Zeti ketika itu juga merupakan salah seorang Ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang diamanahkan untuk memberi nasihat kepada kerajaan PH berkaitan ekonomi dan kewangan.

Beliau merupakan puteri tunggal kepada pasangan yang juga tokoh ilmuwan dan budaya negara iaitu Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Pak Ungku dan Sharifah Azah Syed Mohammed Alsagof.

Artikel Berkaitan:

Dilahirkan pada 26 Ogos 1947 di Johor Bahru, keluarga Zeti mempunyai darah kacukan Melayu dan Turki manakala ibunya pula berketurunan Hadhrami Arab dan Melayu.

Pada 15 Disember tahun lalu, Pak Ungku telah kembali ke rahmatullah pada usia 98 tahun ketika menerima rawatan di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur.

Kebijaksanaan Ungku Aziz nyata diwarisi Zeti yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Assunta dan kemudian bergelar siswazah Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Analitikal dari Universiti Malaya (UM) sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang kewangan dan ekonomi antarabangsa di University of Pennsylvania, Amerika Syarikat pada tahun 1978.

Zeti mendirikan rumah tangga dengan Datuk Dr Tawfiq Ayman. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Alif Ayman Aziz dan Abdul Aziz.

Wanita pertama

Beliau dilantik sebagai Gabenor BNM pada 1 Mei 2000 dan melakar sejarah tersendiri apabila menjadi wanita pertama yang menyandang jawatan terpenting bank pusat itu. Zeti menerajui BNM selama 16 tahun.

Bersandarkan kecemerlangan Zeti mengendalikan bidang perbankan negara, beliau sekali lagi diberi kepercayaan sebagai Gabenor Bank Negara pada 1 Mei 2011 bagi tempoh lima tahun lagi.

Pada Disember 2017, Zeti menerima anugerah Darjah Matahari Terbit (Order of The Rising Sun) iaitu antara darjah kebesaran tertinggi di Jepun.

Di samping itu, beliau juga pernah dianugerahkan sebagai Gabenor Bank Pusat terbaik dunia pada tahun 2015 dan diiktiraf sebagai Gabenor Bank Kelas A untuk tahun ke-11 berturut-turut daripada Majalah Global Finance pada tahun 2014.

Setelah bersara, Zeti kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi PNB.

Siasatan 1MDB

Namun reputasi baik Zeti sedikit tercalar apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap suaminya berhubung dakwaan mengenai penerimaan dana yang dikaitkan dengan 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Dalam satu kenyataan ringkas pada 1 Januari 2021, Zeti menafikan dakwaan tersebut.

“Saya memerhatikan dengan kebimbangan apabila melihat banyak laporan media yang tidak benar mengaitkan saya dan keluarga saya dengan 1MDB.

“Isu berkaitan 1MDB telah disiasat sepenuhnya oleh pihak berwajib seperti BNM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Zeti memberikan kerjasama sepenuhnya dan menyerahkan kesemua maklumat yang diperlukan kepada PDRM serta SPRM berhubung siasatan rasmi berkenaan 1MDB dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam perkembangan terkini mengenai kes berkenaan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Zainuddin Yaacob pada 3 Mac lalu dilaporkan berkata, siasatan terhadap Tawfiq Ayman dijalankan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Katanya, memandangkan siasatan kes itu melibatkan keterangan di Malaysia dan luar negara, PDRM sedang mengambil tindakan susulan di bawah Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002.

“Ini bagi mendapatkan keterangan yang berada di luar negara. Siasatan ini berkenaan penerimaan dana yang dikaitkan dengan 1MDB dalam akaun milik beliau (Tawfiq) di Singapura,” katanya dalam kenyataan.

Zainuddin juga dipetik sebagai berkata, polis ingin menasihatkan masyarakat untuk tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi melalui mana-mana platform sehingga siasatan polis selesai dan seterusnya dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan suatu keputusan.

Sebuah portal berita melaporkan polis Singapura memberitahu Bank Negara mengenai transaksi mencurigakan berjumlah RM66 juta daripada ahli perniagaan yang sedang diburu, Low Taek Jho kepada syarikat yang didakwa dimiliki suami dan anak lelaki Zeti pada tahun 2015.