X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Ada sempadan guna kalimah ALLAH: Presiden Pas

Abdul Hadi Awang
A
A

SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memaklumkan pada dasarnya tiada larangan untuk menyebut perkataan ALLAH walaupun bagi penganut agama bukan Islam namun ada sempadan penggunaannya.

Kata Abdul Hadi, ia termasuk penganut agama yang melantik paling banyak Tuhan, bahkan golongan tidak beragama dan ateis (tidak percaya adanya Tuhan) juga tidak boleh dilarang menyebut perkataan ALLAH, jika ia mahu diucapkan atau ditulis.

"Golongan berpelajaran tinggi termasuk orang paling bodoh dan buta huruf juga tidak boleh dilarang untuk menyebut perkataan ALLAH.

"Bahkan golongan paling gila dan tidak siuman serta tidak mempunyai akal langsung pun, jangan sekali-kali larang mereka daripada menyebut perkataan ALLAH. Namun, perlu diketahui bahawa maksud perkataan ALLAH yang sebenar adalah mengikut asal usul daripada bahasa Arab yang menjadi bahasa asal bagi al-Quran," katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya pada Jumaat.

Rabu lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah ‘ALLAH’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Tiga perkataan itu ialah Baitullah, Kaabah dan solat.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah Tinggi benarkan penganut Kristian guna kalimah ALLAH

Hamzah seru semua pihak tidak buat spekulasi isu kalimah ALLAH

Isu kalimah ALLAH: Turun ke jalan, PDRM ambil tindakan tegas

Bagaimanapun, penggunaan perkataan itu perlu disertakan dengan penafian hanya untuk orang Kristian dan lambang salib di muka hadapan kulit buku.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan, jika tujuannya mengelirukan atau menghina penganut Islam, maka ada sempadan (batas-batas) dan hukumnya.

"Andai kata, kalau perkataan ALLAH dijadikan jenama kasut yang dipijak, adakah atas nama kebebasan, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh membenarkan ia berlaku?

"Bagaimana pula makanan yang diharamkan terhadap penganut Islam seperti daging babi, diletakkan namanya dengan perkataan ikan halal, adakah ia boleh dibenarkan atas nama kebebasan," soalnya lagi.

Pada masa sama Abdul Hadi berkata, Islam juga melarang menyentuh sensitiviti penganut agama lain yang boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat majmuk.

"Di sini semua pihak perlu meletakkan kebijaksanaan masing-masing dan menjaga sensitiviti dalam konteks masyarakat majmuk mengikut sempadannya yang sebenar dan secara saksama," katanya.

Minda Presiden PAS TIDAK BOLEH DILARANG MENYEBUTKAN PERKATAAN ALLAH, NAMUN ADA SEMPADANNYA Pada dasarnya tidak boleh...

Posted by Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang on Thursday, March 11, 2021


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!