Penggunaan imej Dara, Amoi, Kelat pada tiket Zoo Tennoji dipersoal

KUALA LUMPUR – Penggunaan gambar tiga ekor gajah Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat (DAK) pada tiket kemasukan Zoo Tennoji di Osaka, Jepun, menimbulkan persoalan mengenai tujuan sebenar pemindahan haiwan berkenaan ke negara itu.
Aktivis Dara.Amoi.Kelat.24434 bersama Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (PERKAM) menggesa Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Zoo Taiping dan Night Safari (ZTNS) memberikan penjelasan rasmi berhubung perkara itu.
Menurut mereka, persoalan berkenaan timbul susulan kenyataan NRES menerusi Facebook pada 17 Mac 2026 yang menjelaskan pemindahan ketiga-tiga gajah itu ke Jepun adalah sebahagian daripada kerjasama konservasi antara Malaysia dan negara berkenaan.
Katanya, empat objektif utama pemindahan itu termasuk menyokong kelangsungan spesies gajah Asia melalui program konservasi, memperluaskan kepelbagaian genetik populasi gajah dalam kurungan serta meningkatkan kepakaran kakitangan dalam pengurusan dan penjagaan haiwan berkenaan.
“Objektif lain adalah menggalakkan penyelidikan serta pertukaran pengetahuan antara kedua-dua zoo.
“Namun, jika tujuan utama pemindahan ini adalah konservasi, mengapa Dara, Amoi dan Kelat kemudiannya dipamerkan kepada orang awam di Zoo Tennoji pada 21 April 2026?
“Lebih membimbangkan, mengapa gambar mereka turut digunakan pada tiket kemasukan zoo berkenaan?” menurut kenyataan itu pada Isnin.
Mereka turut mempersoalkan sama ada penggunaan imej ketiga-tiga gajah itu bertujuan sebagai bahan pendidikan dan kesedaran konservasi, promosi perlindungan gajah Asia atau sekadar menarik pengunjung membeli tiket.
Menurut kenyataan itu, pihaknya tidak menolak kepentingan pendidikan awam dan usaha meningkatkan kesedaran mengenai konservasi, namun terdapat perbezaan antara penggunaan haiwan bagi tujuan pendidikan dengan menjadikan imejnya sebagai bahan pemasaran komersial.
Sehubungan itu, mereka mahu penjelasan sama ada penggunaan imej DAK pada tiket berkenaan telah mendapat persetujuan pihak Malaysia serta tertakluk kepada syarat dan skop yang dipersetujui sebelum pemindahan dilakukan.
Mereka turut mempersoalkan sama ada PERHILITAN dan NRES mengetahui penggunaan gambar berkenaan serta sama ada perkara itu diperuntukkan dalam perjanjian atau memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak.
“Jika haiwan dipindahkan menerusi perjanjian khas antara kerajaan atau program konservasi antarabangsa, penggunaan imejnya bagi tujuan promosi sewajarnya tertakluk kepada terma dan syarat yang dipersetujui.
“Kami percaya perkara ini perlu dijelaskan secara terbuka kerana Dara, Amoi dan Kelat bukan sekadar tiga ekor gajah yang dipindahkan ke luar negara, sebaliknya khazanah negara yang perlu dilindungi dan diuruskan dengan penuh tanggungjawab,” menurut kenyataan itu.
Mereka menegaskan persoalan berkenaan bukan bertujuan menolak kerjasama konservasi antarabangsa, sebaliknya mahu memastikan setiap tindakan yang dilaksanakan selari dengan objektif konservasi yang diumumkan kepada rakyat Malaysia.
Justeru, mereka menggesa semua pihak berkaitan memberikan penjelasan rasmi demi memastikan ketelusan, akauntabiliti dan kepentingan awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
