Apa di sebalik kesungguhan bukan Islam mahu guna kalimah ALLAH

Mohd Zai (depan) pada sidang akhbar selepas perhimpunan aman membantah penarikan rayuan kes kalimah ALLAH di pekarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada Jumaat.
Mohd Zai (depan) pada sidang akhbar selepas perhimpunan aman membantah penarikan rayuan kes kalimah ALLAH di pekarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pertubuhan Gabungan Ummah Malaysia (Ummah Malaysia) mempersoalkan tindakan orang bukan Islam yang begitu teruja dan bersungguh dalam menggunakan kalimah ALLAH sedangkan ia hak eksklusif Muslim.

Presidennya, Mohd Zai Mustafa berkata, perkara tersebut menimbulkan persoalan kerana banyak impak negatif boleh berlaku sekiranya hak eksklusif itu boleh diguna pakai oleh bukan Islam.

Beliau berkata, bagi mengelak perkara tersebut terjadi pada masa hadapan, kerajaan perlu tegas dengan keputusan mahkamah yang pertama diumumkan sebelum ini.

"Isu kalimah ALLAH bukan satu kes kecil dan boleh dipermain-mainkan, malah tidak sepatutnya timbul.

"Oleh itu, kita seluruh umat Islam sangat berharap isu ini dapat diselesaikan segera dan hak kalimah ALLAH adalah milik eksklusif umat Muslim," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas perhimpunan aman membantah penarikan rayuan kes kalimah Allah di pekarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, dekat sini.

Perhimpunan aman itu merupakan anjuran Pas dan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa).

Antara yang hadir ialah Ketua Penerangan Pemuda Pas, Nadzir Helmi; Penasihat Gerakan Pembela Ummah, Kamaruzaman Mohamad serta Naib Presiden Perkasa, Borhan Ahmad Zakaria.

Mohd Zai berkata, seluruh umat Islam pastinya mahu isu ini disegerakan dalam terdekat dan tidak berlanjutan.

Sehubungan itu katanya, kerajaan perlu bertegas dan berusaha menyelesaikannya dengan membawa isu penting ini ke peringkat Majlis Raja-Raja.