SPM 2026: Ujian mendengar, bertulis BM dan BI diadakan hari sama elak calon tidak hadir

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil pendekatan baharu mengadakan ujian mendengar dan peperiksaan bertulis bagi mata pelajaran Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris pada hari yang sama mulai tahun ini, sebagai usaha mengurangkan ketidakhadiran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata langkah itu bertujuan memastikan calon menduduki semua komponen peperiksaan bagi kedua-dua mata pelajaran berkenaan sekali gus mengelakkan mereka dianggap gagal hanya kerana tidak hadir bagi satu komponen.
Beliau berkata sebelum ini terdapat calon yang mengambil mudah kepentingan melengkapkan semua komponen peperiksaan apabila beranggapan prestasi baik dalam ujian bertutur atau mendengar sudah memadai untuk memperoleh keputusan yang baik.
"Tahun ini kita mula sekalikan ujian mendengar dengan ujian bertulis supaya kita dapat pastikan anak-anak kita selepas ujian mendengar, mereka terus masuk ujian bertulis.
"...antaranya memang nak elakkan murid tidak datang. Dia tidak datang satu komponen sahaja, tiga kertas dia datang, satu kertas tidak datang, dia dianggap gagal," katanya kepada media selepas meninjau peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 16(1), di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Ab Aziz Mamat, Pengarah Pendidikan Putrajaya Nadimin Abdul Aziz dan Pengetua SMK Putrajaya Presint 16(1) Salleha Salleh.
Beliau berkata langkah berkenaan merupakan antara penambahbaikan berterusan KPM dalam pengurusan peperiksaan awam, selain memastikan setiap calon mendapat peluang terbaik untuk membuktikan penguasaan mereka.
Sementara itu, beliau berkata KPM turut memperkukuh persiapan menghadapi banjir dengan menempatkan calon daripada kawasan berisiko di asrama berhampiran pusat peperiksaan lebih awal, selepas mendapat persetujuan ibu bapa.
Katanya, makanan turut disediakan secara percuma kepada calon terbabit bagi memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan tanpa gangguan.
Beliau berkata kerjasama dengan agensi berkaitan termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia juga ditingkatkan bagi menghadapi kejadian luar jangka.
Sebanyak 420,879 calon mendaftar dijadualkan menduduki SPM 2026 di 3,334 pusat peperiksaan seluruh negara dengan peperiksaan bertulis berlangsung dari 23 November hingga 17 Disember ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
