Pas, Perkasa, NGO berhimpun isu kalimah ALLAH

Suasana himpunan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam.
Suasana himpunan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Pas bersama Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) mengadakan himpunan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini bagi membantah tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan kes Kalimah ALLAH di Mahkamah Tinggi.

Perhimpunan yang berlangsung pada selepas solat Jumaat itu turut disertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dan Gabungan Mahasiswa se-Islam Malaysia (Gamis) serta Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Ketua Penerangan Pemuda Pas, Nadzir Helmi ketika memberi ucapan menggesa supaya kerajaan menerusi KDN menarik balik rayuan tersebut mengenai isu kalimah tersebut dan dibicarakan kembali di mahkamah mengikut prosedur sedia ada.

Nadzir berucap pada himpunan bagi menggesa kerajaan menerusi KDN menarik balik rayuan kes Kalimah ALLAH di Mahkamah Tinggi.
Nadzir berucap pada himpunan bagi menggesa kerajaan menerusi KDN menarik balik rayuan kes Kalimah ALLAH di Mahkamah Tinggi.

"Kita sepatutnya kena uruskan kes ini sehingga ia selesai di Mahkamah Persekutuan. Tapi, kenapa tiba- tiba ia ditarik tanpa sebarang hebahan sedangkan ia memberi impak kepada pandangan awam terutama umat Islam?

"Kita juga minta untuk perkara ini dibahaskan di Parlimen dan daripada itu kita akan lihat mana satu Ahli Parlimen yang akan menyokong atau tidak," katanya.

Beliau juga menggesa supaya isu ini diperhalusi kembali oleh Majlis Raja-Raja Melayu bagi sebarang keputusan.

Kerajaan Malaysia dan KDN baru-baru ini menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ALLAH, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman berkenaan difailkan Pejabat Peguam Negara pada 18 April lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya.