Bekas kilang kertas dijadikan makmal dadah beroperasi 24 jam

Shafee (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dari bekas kilang kertas pada sidang akhbar di IPD Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam pada Khamis.
Shafee (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dari bekas kilang kertas pada sidang akhbar di IPD Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam pada Khamis.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis menyerbu sebuah bekas kilang kertas yang dijadikan makmal memproses dadah jenis syabu di Machang Bubok di sini pada 8 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Bd Samad berkata, dalam serbuan pada jam 7.30 malam itu, polis merampas syabu seberat 66 kilogram (kg) selain 37 liter cecair syabu dan beberapa peralatan memproses dadah bernilai RM2.9 juta.

"Bertindak atas maklumat dan risikan, kita menyerbu sebuah bekas kilang memproses kertas yang dijadikan makmal memproses dadah jenis syabu.

"Selain syabu dan cecair syabu, kita merampas sebanyak 35 tong mengandungi 885 liter cecair kimia iaitu ephedrine, asid hidroklorik, asid tartarik, methylamine dan methanol," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di sini pada Khamis.

Shafee berkata, polis turut menahan empat lelaki berusia antara 38 hingga 49 tahun bagi membantu siasatan.

"Dalang sindiket tersebut merupakan seorang mekanik berusia 49 tahun, manakala tukang masak dadah tersebut berusia 42 tahun. Peralatan dan mesin bersaiz industri memproses dadah tersebut dipercayai direka sendiri oleh tukang masak dadah berkenaan.

"Ketika serbuan, tiga suspek berada dalam kilang tersebut, manakala seorang lagi ditahan di Georgetown. Suspek tidak bersenjata dan tiada pergelutan ketika tangkapan," katanya.

Beliau berkata, sindiket berkenaan aktif sejak Ogos tahun lalu dan dadah tersebut adalah untuk pasaran tempatan.

"Mesin dan peralatan yang dirampas mampu menghasilkan 40 hingga 50kg syabu dalam tempoh sebulan sehingga sebulan setengah. Kilang tersebut beroperasi 24 jam sehari.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua suspek merupakan kenalan dan kita masih menyiasat sama ada terdapat saki baki ahli sindiket ini yang masih bebas," katanya.

Tambah beliau, selain dadah, polis turut menyita tiga buah kenderaan iaitu Toyota Velfire, Toyota Vios dan Toyota Camry bernilai RM230,000.

"Polis turut merampas seutas rantai leher beserta loket, wang tunai bernilai RM1,150 dan wang di dalam tiga akaun bernilai RM49,575. Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM3.2 juta.

"Dalang sindiket mempunyai dua rekod jenayah, manakala tukang masak dadah mempunyai lapan rekod. Seorang suspek lagi mempunyai tiga rekod jenayah, manakala suspek terakhir tiada rekod jenayah," katanya.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati hanya dalang sindiket berkenaan negatif, manakala tiga lagi suspek positif syabu.

"Kesemua dadah tersebut mampu digunakan oleh 400,000 penagih dadah sekiranya ia terlepas di pasaran.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.