12 lelaki terlibat judi online ditahan

Razali sedang menyoal siasat individu yang ditahan dalam Ops Dadu di sebuah premis di Pusat Perniagaan Kinrara 3 Taman Kinrara di sini pada Rabu.
Razali sedang menyoal siasat individu yang ditahan dalam Ops Dadu di sebuah premis di Pusat Perniagaan Kinrara 3 Taman Kinrara di sini pada Rabu.
A
A
A

SERDANG - Seramai 12 lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti judi atas talian di sebuah premis di Pusat Perniagaan Kinrara 3 Taman Kinrara di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, pihaknya menahan 11 pelanggan dan seorang penjaga premis berusia 30 hingga 66 tahun dalam Ops Dadu pada jam 7 malam.

"Kita telah melakukan intipan selama dua hari sebelum melakukan serbuan. Kita telah merampas 12 buah komputer riba, sebuah modem dan wang tunai RM258," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan pada Rabu.

Razali berkata, kegiatan judi atas talian itu dipercayai berselindung di sebalik sebuah kedai yang seolah-olah tidak beroperasi.

"Pelanggan yang dikenali sahaja akan memasuki premis tersebut melalui pintu belakang," katanya.

Beliau berkata, penjaga premis itu mendakwa mereka baharu seminggu beroperasi dengan gaji yang diterima sebanyak RM1,500 sebulan.

"Kesemua tangkapan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka, 16(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Perintah Kawalan Pergerakan)," katanya.

Artikel Berkaitan: