Pelepasan kuota Bumiputera: Bantuan bukan untuk orang kaya

Ahmad Faizal (tujuh, kiri), pada sidang media berkenaan.
Ahmad Faizal (tujuh, kiri), pada sidang media berkenaan.
A
A
A

IPOH - “Saya tak takut kalau saya dikatakan tak membantu golongan kaya, saya lebih takut kalau tidak membantu rakyat yang memerlukan bantuan,”

Itu reaksi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi mengulas berhubung pelepasan kuota Bumiputera dalam usaha memiliki rumah di negeri ini yang mungkin mengakibatkan dirinya menerima kecaman ramai.

Ahmad Faizal berkata, dia lebih takut kerana telah mengangkat sumpah tapi tidak menjalankan amanah berkenaan dengan sebaiknya.

Malah menurut Ahmad Faizal, pelepasan kuota berkenaan sebenarnya dibuat agar hanya golongan yang berpendapatan rendah dibantu untuk memiliki rumah sendiri berbanding dengan golongan yang mampu memiliki rumah berharga ratusan ribu.

“Terpulang kepada mereka (rakyat), untuk kata saya menidakkan hak Bumiputera tapi pada saya kalau mampu beli rumah yang harga RM500,000, RM1 juta, RM1.5 juta selain mampu membayar ansuran bulanan sebanyak RM10,000, memang saya nafikan hak mereka.

“Pada saya, mereka ini mampu. Kerajaan seterusnya akan ambil wang untuk diletakkan dalam kantung (tabung) untuk kita bina rumah bagi golongan B40 yang sangat-sangat memerlukan,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian pada sidang media setelah membuat pembentangan berhubung Penambahbaikan Dasar Perumahan Negeri Perak 2019 & EPIC Perak 2019 di Bilik Gerakan Negeri, hari ini.

Sementara itu Ahmad Faizal berkata, sebanyak 5,000 unit rumah telah pun siap daripada sejumlah 50,000 seperti yang dijanjikan dalam manifesto PH Perak.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini kita dah capai lebih 5,000 unit daripada sejumlah 50,000 unit yang kita janjikan dalam manifesto,” katanya.