Dakwa ditawar jawatan, Steven Choong sedia disiasat

Steven Choong (dua, kiri) dan Mazlan (dua,kanan) menanam pokok sebagai simbolik Majlis Perasmian Hab Pertanian Persatuan Sokongan Kebajikan Wawasan OKU Johor Bahru di Taman Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang pada Rabu.
Steven Choong (dua, kiri) dan Mazlan (dua,kanan) menanam pokok sebagai simbolik Majlis Perasmian Hab Pertanian Persatuan Sokongan Kebajikan Wawasan OKU Johor Bahru di Taman Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon sedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tindakannya menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN).

Beliau akan memberi kerjasama penuh sekiranya perlu berbuat demikian pada bila-bila masa.

"Itu terpulang kepada mereka kalau ada kes," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Hab Pertanian Persatuan Sokongan Kebajikan Wawasan Orang Kurang Upaya (OKU) Johor Bahru di Taman Tanjung Puteri Resort di sini pada Rabu.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Mazlan Bujang serta Pengerusi Persatuan Sokongan Kebajikan Wawasan OKU Johor Bahru, Jamaluddin Abdul Malik.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada Rabu mempersoalkan kemampuan SPRM untuk membuktikan agensi itu bebas berkecuali dan profesional dengan menyiasat Perdana Menteri.

Guang Eng berkata, ia susulan pendedahan Steven Choong yang berpaling tadah daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa Muhyiddin menjanjikannya satu jawatan rasmi jika mengalih sokongan.

Katanya, SPRM sekurang-kurangnya perlu menyatakan secara terbuka bahawa usaha melompat parti kerana wang atau melalui pertukaran habuan adalah salah di sisi undang-undang dan merupakan amalan rasuah.

Mengenai saranan sebuah parti politik supaya wakil rakyat yang mahu melompat parti perlu mengosongkan kerusi terlebih dahulu, Steven Choong berkata, itu adalah pandangan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Itu hak mereka untuk kata apa sahaja kerana ini adalah negara demokrasi," katanya.

Sementara itu, Mazlan berkata, agensi kerajaan berkaitan terutama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) perlu membantu ahli persatuan tersebut dalam menjayakan projek berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata, ketika ini 10 ahli persatuan tersebut mengusahakan tanaman limau kasturi, lada besar, lemon dan kacang panjang di situ.

Katanya, persatuan tersebut mempunyai 300 ahli dan itu merupakan projek perintis serta dicadangkan dikembangkan di kawasan komuniti bukan sahaja OKU tetapi juga penduduk setempat.