'Calon PM dan Pengerusi PN menerusi syura, tanpa dipengaruhi pihak luar' - Mohd Syahir

SHAH ALAM - Sebarang keputusan penting parti termasuk penentuan calon Perdana Menteri dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dibuat melalui proses syura dan musyawarah tanpa dipengaruhi pihak luar.
Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menegaskan, pendekatan tersebut berbeza dengan rancangan realiti televisyen yang bergantung kepada undian popular.
Malah menurutnya, parti pimpinan Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu menekankan perbincangan teratur melibatkan pandangan pelbagai pihak dalam parti serta dimuktamadkan mengikut tertib dan kaedah yang ditetapkan.
"Tiada siapa boleh tentukan pendirian kami. Kami putuskan sendiri dengan siapa hendak berkawan, dengan siapa hendak berlawan. Berprinsip, ada maruah, ada harga diri.
"Tidak seperti Amanah (Parti Amanah Negara), semua keputusan ditentukan DAP, hanya ikut cakap DAP. Sekadar menjadi pak turut, tidak lebih seperti 'kaki kabaret', hilang prinsip, tergadai maruah, tiada harga diri.
"Adapun kaedah syura dan musyawarah ini bukanlah dimulakan oleh TGHH (Tuan Guru Haji Hadi) tetapi dimulakan oleh pimpinan Pas terdahulu," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil dilapor menyifatkan situasi terkini polemik dalaman Perikatan Nasional (PN) ibarat program realiti televisyen Akademi Fantasia yang penuh teka-teki dan spekulasi.
Beliau berkata, situasi itu mencerminkan kelemahan Pas sebagai parti dominan dalam PN meskipun sebelum ini mendakwa mempunyai ramai calon Perdana Menteri.
Sementara itu Mohd Syahir yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden Pas menjelaskan, penentuan calon Perdana Menteri dan Pengerusi PN telah melalui pertimbangan baharu dengan mengambil kira pelbagai pandangan dan hujah sebelum ditetapkan.
Namun keputusan akhir jelasnya, akan dirunding, dimuktamadkan dan diumumkan pada masa yang sesuai.
"Tidak perlu menyuluh siapa orangnya dan kami tidak perlukan 'kelulusan' DAP dan Amanah dalam hal ini.
"Rakyat telah melihat kewibawaan Pas dan sedang menilai kelayakan untuk menjadi Perdana Menteri sedangkan Amanah, hendak menjadi Timbalan Menteri (Agama) pun sudah tidak layak.
"Kami diajar untuk bersabar, tidak gopoh, apatah lagi gelojoh. Kami yakin, masa depan Pas dan Islam semakin cerah," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

