Pemuda Amanah NS label kenyataan Akmal angkuh, pentingkan diri sendiri

Umar Mokhtar
Umar Mokhtar
A
A
A

SEREMBAN – Pemuda Amanah Negeri Sembilan menyifatkan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang mencabar barisan Exco DAP di Melaka meletakkan jawatan serta mencadangkan semua menteri daripada UMNO mengambil langkah sama, sebagai angkuh dan mementingkan diri sendiri.

Exco Pemuda Amanah Negeri Sembilan, Umar Mokhtar Abdullah berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu sepatutnya bersikap lebih matang dan rasional.

"Akmal menyatakan bahawa kenapa perlu dia undur diri dalam kerajaan Barisan Nasional, sedangkan beliau meminta menteri-menteri dan ahli-ahli Parlimen UMNO meletakkan jawatan serta keluar daripada Kerajaan Perpaduan.

"Beliau perlulah lebih matang dan rasional kerana semua menteri dan ahli Parlimen lebih besar peranannya dalam membentuk atau membuat dasar yang akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat di negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau turut mempersoalkan implikasi terhadap kestabilan negara sekiranya semua pemimpin UMNO bertindak mengikut kehendak Muhamad Akmal.

Jelasnya, dalam tempoh tiga tahun ini, negara telah menikmati kestabilan dari pelbagai sudut termasuk pengukuhan nilai Ringgit, kawalan inflasi dan pemulihan ekonomi.

"Akmal kata UMNO perlu bersama Pas seperti sebelum ini dalam Muafakat Nasional untuk membentuk gabungan orang Melayu yang lebih besar.

"Tapi, tidakkah Akmal belajar daripada masa lepas? Percayalah, pada Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor akan datang, UMNO dan Pas akan bertegang leher dan bertikam lidah untuk menentukan kerusi yang akan mereka tandingi," katanya.

Malah, Umar Mokhtar berkata, sehingga kini terdapat beberapa pemuda UMNO yang dilihat tidak bersetuju dan membidas kehendak beliau.

Artikel Berkaitan:

"Akmal seharusnya meminta tunjuk ajar dan belajar daripada bekas Ketua Pemuda UMNO sebelum ini seperti Khairy Jamaluddin atau Datuk Asyraf Wajdi yang mempunyai 'selling point' lebih baik dalam membawa gagasan Pemuda UMNO.

"Jangan ikut perasaan, Akmal. Ikut rasa binasa, ikut hati mati," katanya.

Pada Sabtu lalu, Muhamad Akmal menerusi ucapannya dalam Konvensyen Khas Pemuda UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur mendesak parti Melayu itu bertindak keluar Kerajaan Perpaduan termasuk mencadangkan menteri daripada UMNO meletakkan jawatan.

Ini kerana katanya, terdapat dalam kalangan parti komponen Kerajaan Perpaduan yang didakwa telah hilang hormat dan memijak maruah UMNO, hingga menjejaskan nama baik orang Melayu dan kesucian agama Islam di negara ini.

Ringkasan AI

  • Pemuda Amanah Negeri Sembilan mengkritik Ketua Pemuda UMNO kerana mencadangkan Exco DAP Melaka dan menteri UMNO meletak jawatan sebagai tindakan yang angkuh
  • Ketua Pemuda UMNO disarankan bersikap lebih matang dan rasional terhadap peranan menteri dan ahli parlimen dalam membentuk dasar yang manfaat rakyat
  • Pemuda Amanah bimbang tindakan mengikut cadangan Ketua Pemuda UMNO akan mengganggu kestabilan negara yang telah menikmati pemulihan ekonomi
  • Ketua Pemuda UMNO mencadangkan UMNO bersatu dengan PAS dalam Muafakat Nasional tetapi dikritik kerana potensi percanggahan perebutan kerusi dalam pilihan raya
  • Diakhir saranan untuk Ketua Pemuda UMNO belajar dari pendahulunya untuk membawa gagasan lebih baik bagi pemuda UMNO

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!