Negeri Sembilan bantah KLIP jika tidak patuh EIA

 Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN -Kerajaan Negeri Sembilan akan membantah pembinaan Projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) di Kuala Linggi, Melaka sekiranya projek itu tidak mematuhi Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA),Jabatan Alam Sekitar.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bantahan itu bagi memastikan projek terbabit tidak mendatangkan masalah kepada pihak Negeri Sembilan pada masa akan datang.

"Walaupun kerajaan negeri Melaka mempunyai hak untuk membangunkan projek berkenaan namun sekiranya ia memberikan kesan buruk terhadap kawasan yang berada di persempadanan, kerajaan negeri akan membantah dan tidak akan berkompromi dalam perkara tersebut.

"Selain itu, antara perkara lain yang perlu diberikan perhatian oleh pihak berkenaan adalah isu pampasan kepada nelayan termasuk nelayan di kawasan Negeri Sembilan yang turut terkesan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pampasan yang diberikan kepada nelayan di Negeri Sembilan harus sama seperti diberikan kepada nelayan di Melaka.

Dalam pada itu, beliau berkata, apa yang paling penting, penambakan itu melibatkan alam sekitar dan perlu dipatuhi sepenuhnya.

"Justeru, kerajaan Melaka harus sensitif dengan perkara ini kerana ia melibatkan negeri sempadan dengan mereka, harus ikut semua yang ditetapkan, ikut peraturan sama ada EIA atau laporan teknikal lain.

Artikel Berkaitan:

"Perkara ini penting bagi memastikan hubungan persempadanan kita dalam keadaan yang baik," katanya.

JAS telah mengeluarkan laporan EIA dan telah dipamerkan sejak 24 Februari lalu hingga 25 Mac ini bagi memberi peluang kepada orang awam mengemukakan maklum balas berdasarkan penelitian berkaitan Laporan EIA tersebut dalam tempoh pameran yang telah ditetapkan.