ATMA UKM angkat tamadun Melayu

DR AWANG SARIYAN
DR AWANG SARIYAN
A
A
A

SHAH ALAM - Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan Sidang Meja Bulat bagi membuat penilaian, pencapaian dan keberkesanan ATMA dalam usaha mengangkat tamadun Melayu sebagai teras kepada negara.

Pengarah ATMA, Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan selain itu berkata, program yang bertemakan ‘Mengangkat Tamadun Melayu Mahawangsa’itu adalah bagi mengangkat tamadun Melayu sebagai unsur utama di wilayah yang dikenali Alam Melayu.

Menurutnya, Alam Melayu meliputi Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, sebahagian Thailand, Filipina, Cambodia, manakala di Sri Lanka, Madagascar, Capetown dan di bahagian lain dunia merupakan diaspora Melayu.

“Selain itu, kami juga ingin menjadikan tamadun Melayu lebih berkesan sebagai bahagian penting pembangunan manusia, masyarakat dan negara serta hubungan antarabangsa. Tujuan ini selaras dengan asas Pelan Strategik UKM iaitu sebagai universiti watan,” katanya di sini pada Isnin.

Panelis Sidang Meja Bulat ‘Mengangkat Tamadun Mahawangsa: Lakaran Gagasan Peningkatan ATMA’
Panelis Sidang Meja Bulat ‘Mengangkat Tamadun Mahawangsa: Lakaran Gagasan Peningkatan ATMA’

Sidang Meja Bulat ATMA itu berlangsung bermula 8 hingga 10 Mac ini dan telah dirasmikan oleh Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Sementara itu, Awang berkata, program tersebut bagi menggarap bidang tamadun dengan pengertian yang luas termasuk bahasa; kesusasteraan dan kebudayaan; ekonomi; pendidikan; komunikasi’ sejarah; warisan dan ketatanegaraan.

Tambah beliau, yang terkini ialah bidang etnosains dan teknologi telah menekankan sumbangan tamadun Melayu dalam ilmu sains dan teknologi di alam Melayu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, lebih 250 sarjana, pemimpin badan kerajaan, badan swasta, pertubuhan diundang dan sidang tersebut dipecah kepada lapan yang menjurus pada bidang khusus tamadun.

“Selain pakar dari Malaysia, panel turut melibatkan pakar antarabangsa seperti Amerika Syarikat, Australia, Belanda, Brunei, Cambodia, Capetown, China, Indonesia, Jerman, Jepun, Madagascar, Rusia, Singapura, Sri Lanka," katanya.

Panelis Sidang Meja Bulat ‘Mengangkat Tamadun Mahawangsa: Lakaran Gagasan Peningkatan ATMA’, Tan Sri Abdul Aziz Rahman mencadangkan agar identiti secara fizikal juga perlu dititikberatkan di dalam negara.

Katanya, ketika ini kurang kelihatan bangunan yang berunsurkan tamadun Melayu di dalam negara.

“Kita bukan sahaja kena tingkatkan persuratan, kita kena wujudkan identiti fizikal.

“Lihat sahaja bangunan Pagoda di Genting Highland. Bangunan ini merupakan Dinasti Empayar Cina. Kita juga kena berbuat demikian kerana ini negara kita," katanya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar UKM menjadi satu pusat khazanah pengumpulan ilmu Melayu.

Katanya, ini bagi memudahkan kepada mereka yang ingin mencari rujukan dan hanya perlu merujuk di satu tempat sahaja.