Polis minta pemilik kenderaan terlibat insiden baling kon tampil

Tangkap layar memaparkan tindakan seorang pemandu Perodua Axia membaling kon ke arah kenderaan lain di Plaza Tol Lebuhraya LDP, Subang Jaya. - Gambar kecil (Wan Azlan)
Tangkap layar memaparkan tindakan seorang pemandu Perodua Axia membaling kon ke arah kenderaan lain di Plaza Tol Lebuhraya LDP, Subang Jaya. - Gambar kecil (Wan Azlan)
A
A
A

SUBANG JAYA - Polis meminta pemilik kenderaan yang terlibat dalam insiden tular seorang individu membaling kon di Plaza Tol Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) supaya tampil bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, satu laporan polis telah dibuat pada jam 1.37 pagi Isnin selepas pihaknya mengesan satu hantaran video di Facebook bertajuk ‘Pemandu Axia Naik Hantu Baling Kon di Plaza Tol Petaling Jaya LDP’.

Menurutnya, setakat ini pemilik kenderaan yang terlibat masih belum tampil membuat laporan polis.

“Kita meminta pemilik kenderaan terlibat supaya tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

“Polis juga telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pihak polis kini sedang berusaha mengesan pemilik kenderaan terlibat bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian tersebut.

Tambahnya, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan insiden berkenaan diminta tampil menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan. Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat kes, Mohamad Faiz Naufal Zakaria di talian 019-485 8907 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.

Sebelum itu, video berkenaan tular memaparkan seorang lelaki menaiki sebuah Perodua Axia dipercayai telah memberhentikan kenderaannya secara tiba-tiba sebelum bertindak membaling kon ke arah sebuah kenderaan lain di hadapannya di plaza tol berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Hantaran tersebut telah menarik perhatian warganet.

Ringkasan AI

  • Polis meminta pemilik kenderaan terlibat dalam insiden pembalingan kon di Plaza Tol LDP tampil membantu siasatan
  • Laporan polis dibuat selepas video insiden itu menjadi viral di Facebook
  • Pemilik kenderaan terlibat masih belum membuat laporan polis
  • Polis membuka kertas siasatan mengikut beberapa seksyen termasuk Kanun Keseksaan dan Akta Pengangkutan Jalan
  • Orang awam dengan maklumat berkaitan diminta bantu siasatan dan diingatkan untuk tidak membuat spekulasi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!