Pas Kedah cabar serah bukti

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Pas Kedah mencabar Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh mengemukakan bukti berhubung dakwaan Exco Agama itu pernah melihat slip transaksi bank membabitkan dana daripada UMNO ke akaun Pas.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kedah, Muhammad Sanusi Mohd Noor berkata, sebagai pemimpin, beliau wajar menyerahkan bukti tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuktikan tuduhan itu.

Menurutnya, Pas memberi tempoh 72 jam untuk Dr Ismail membuat laporan serta menyerahkan bukti kepada SPRM bagi membuktikan beliau bercakap benar dan layak memegang jawatan Exco Agama negeri.

“Jika benar apa yang didakwa, konon penyaluran dana berlaku sejak 10 tahun lalu, sila tampil serahkan bukti. Saya terkejut dengan tuduhan itu dan anggap ia satu pembohongan bagi memburukkan Pas,” katanya.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pembangkang Dun Kedah turut mempersoal tujuan pendedahan itu dibuat susulan Dr Ismail pasti mengetahui dakwaan seumpama itu boleh menyebabkan bekas pemimpin Pas itu disiasat bawah Akta SPRM 2009.

“Saya pelik mengapa Dr Ismail tidak buat laporan kepada SPRM. Dakwanya, Pas terima dana jutaan ringgit sejak 2008, ini perkara paling lucu pernah saya dengar. Malah berlaku dalam tempoh yang panjang, jika berlaku transaksi jenayah pasti SPRM atau pihak berkuasa dapat hidu,” katanya.

Menurutnya, apakah kepimpinan tertinggi Pas akan berpeluk tubuh sekiranya perkara itu benar-benar berlaku.

“Ketika itu, bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih ada, takkan Allahyarham sengaja biarkan ia berlaku jika benar apa didakwa. Transaksi jutaan ringgit bukan boleh disorok, apatah lagi jumlanya besar cecah RM90 juta,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Sanusi berkata, pemikiran Dr Ismail masih seperti pembangkang sedangkan kini mentadbir kerajaan negeri.

“Gunalah kuasa yang ada untuk siasat atau dedahkan supaya SPRM siasat, selepas itu dakwa kami,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut mempertikai dakwaan transaksi tersebut berlaku sejak 2008 sedangkan sepanjang tempoh itu, perkara itu tidak pernah dibangkitkan.

“Adakah Dr Ismail yang ambil duit itu ketika masih bersama Pas? Kemudian buat tuduhan terhadap Pas dan pemimpin lain. Saya musykil sebab jika berlaku sejak 2008, ketika itu Pas dalam Pakatan Rakyat, dan beliau memegang jawatan dalam parti selain menjadi Exco,” soalnya.

Tambahnya, Pas akan menunggu reaksi Dr Ismail dan bersedia memberi masa untuk beliau tampilkan bukti.

“Kami akan tunggu apa tindakan Dr Ismail seterusnya, adakah beliau bercakap kosong untuk memburukkan Pas. Atau disebabkan tiada modal, sengaja direka cerita,” katanya.

Ahad lalu, Dr Ismail mendakwa pernah melihat slip transaksi bank membabitkan dana daripada UMNO kepada Pas termasuk beberapa pemimpin parti itu. Bagaimanapun, beliau tidak dapat memastikan jumlah sebenar yang diterima Pas, namun mendakwa melihat dokumen transaksi RM1 juta dan RM1. 5 juta, selain tidak menolak kemungkinan penyaluran dana berlaku sejak 10 tahun lalu.