Bekalan air di Melaka bertahan sehingga September

Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah merekodkan kapasiti air sebanyak 22,013 juta liter air. - Foto fail Bernama
Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah merekodkan kapasiti air sebanyak 22,013 juta liter air. - Foto fail Bernama
A
A
A

ALOR GAJAH - Bekalan air di tiga empangan di Melaka dijangka dapat bertahan sehingga September sekali gus mengelak berulang catuan air seperti tahun lalu ekoran cuaca panas yang melanda negeri itu sejak beberapa bulan lepas.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, berdasarkan data paras empangan pada Ahad, Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah merekodkan kapasiti air sebanyak 22,013 juta liter air atau mencapai paras 70.6 peratus.

Katanya, sementara paras Empangan Jus di Jasin pula merekodkan jumlah kapasiti air sebanyak 36,365 juta liter air (84.1 peratus) dan Empangan Asahan di Jasin merekodkan kapasiti air berjumlah 695 juta air (99.9 peratus).

“Segala perancangan melibatkan bekalan air di Melaka sedang dilaksanakan secara berperingkat dan kita sentiasa memantau paras empangan air di negeri ini.

“Alhamdulillah sejak semalam (Sabtu) Melaka telah mula menerima taburan hujan yang lebat setelah lama cuaca panas melanda dan semalam (Sabtu) sahaja terdapat kenaikan paras bacaan air sebanyak satu peratus sekali gus meningkatkan kapasiti air di tiga empangan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Program Sihat @ Masjid Tanah Anjuran Hospital Pakar Putra dan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Lendu di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat Melaka bagaimanapun dinasihatkan terus mengamalkan sikap berjimat-cermat dalam penggunaan air seharian mereka bagi mengelak berlakunya pembaziran.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, semua agensi yang terlibat dalam pemantauan dan pengurusan banjir di negeri itu telah bersiap siaga menghadapi kemungkinan berlaku banjir kilat sekiranya hujan lebat dalam tempoh yang lama.

Sulaiman berkata, pelbagai pelan bagi mengelak berlaku banjir kilat telah dilakukan seperti memastikan sistem perparitan berada dalam keadaan baik dan kerja-kerja mendalamkan sungai dilaksanakan secara berkala.

Artikel Berkaitan:

“Semua pegawai daerah juga telah diingatkan untuk melihat kawasan rendah yang berpotensi dilanda banjir kilat dan segera melaksanakan kerja-kerja yang sepatutnya bagi mengelak bencana itu daripada berlaku,” katanya. - Bernama