Cuaca panas: KADA jamin bekalan air cukup tanam padi

Mohd Faizul (tengah) ketika melawat Stesen Pam Kemubu di Kota Bharu pada Sabtu.
Mohd Faizul (tengah) ketika melawat Stesen Pam Kemubu di Kota Bharu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) memberi jaminan bekalan air untuk tanaman padi bagi musim baharu 1/2023 mencukupi walaupun dalam keadaan cuaca panas ketika ini.

Pengurus Besar KADA, Mohd Faizul Mustafa berkata, pihaknya membuat persiapan awal dengan membekalkan pam-pam mudah alih dan mundur kepada petani untuk kawasan yang mempunyai sumber bekalan air.

“Jadual tanaman melibatkan kawasan Kota Bharu Selatan, Kota Bharu Utara, Bachok, Pasir Puteh serta Tumpat dan Pasir Mas yang dijangka akan bermula pada minggu pertama Jun ini.

“Sehubungan itu, KADA meminta 7,122 pesawah dengan keluasan tanah padi 26,833 hektar itu supaya mengikut jadual untuk mengelak sebarang masalah termasuk banjir pada hujung tahun,” katanya pada sidang akhbar selepas Tinjauan Persediaan Menghadapi Kemarau di Stesen Pam Kemubu di sini pada Sabtu.

Menurut Mohd Faizul, setakat ini, KADA mempunyai 281 pam iaitu 17 pam penggalak, mudah alih (215), hidrolik (4) dan mundur (45).

“KADA juga siap membina 43 telaga tiub manakala 61 lagi masih dalam pembinaan bagi kawasan yang tiada punca air melalui peruntukan sebanyak RM300,000.

“KADA akan terus berusaha mendapatkan peruntukan bagi memperbanyakkan pembinaan telaga tiub selain terus membekalkan diesel dan petrol untuk jentera kepada para petani dengan kuantiti 50 liter per minggu,” ujarnya.

Mohd Faizul (kiri) melihat pam yang digunakan untuk membekalkan air kepada petani.
Mohd Faizul (kiri) melihat pam yang digunakan untuk membekalkan air kepada petani.

Beliau turut mengingatkan para petani supaya menggunakan air seoptimum mungkin dan mengelakkan pembaziran air.

“Pesawah boleh gunakan cara menutup batas-batas tanaman padi dengan sempurna.

“Amalkan teknik penanaman dalam air bagi mengelakkan pembaziran,” katanya.