Politik semakin mencabar

A
A
A

KEDUDUKAN politik tanah air semakin mencabar. Sukar diramal adakah langkah yang diambil oleh parti dan aktor politik demi kelangsungan rakyat negara ini atau sebaliknya?

Apakah ada tawaran baharu? Adakah formula politik kepartian dicipta untuk memastikan ia akan membawa anjakan ke atas ekosistem politik tanah air.

Politik bukan lagi menjadi konsumsi elit semata-mata. Media sosial memapar kelajuan penyaluran informasi dan gerak kerja. Mengurus persepsi media sosial perlu diberi keutamaan. Permainan di alam maya turut membawa kepada beberapa persoalan sejak beberapa bulan lalu termasuk cabaran ke atas dunia politik.

Benarkah dalam memahami politik merentasi kelas, etnik dan wilayah, pengundi sudah ada percaturan sendiri dalam menentukan pemangkahan mereka? Sudah bersediakah kita bergerak dari ruang politik keetnikan kepada ideologi politik jika ia masih wujud?

Apakah indikator yang digunakan oleh pemimpin parti untuk yakin apa sahaja tindakan mereka termasuk penentuan hala tuju parti atau keluar daripada kerjasama politik akan mendapat restu dan sokongan penyokong mereka?

Atau tindakan sedemikian rupa boleh memberi impak ke atas kredibiliti diri sendiri sehingga wujud desakan memastikan perubahan kepimpinan dilakukan untuk elak kesannya ke atas parti dan massa. Keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan Langkah Sheraton 2020 boleh dijadikan nota kaki.

Begitu juga jika sekiranya kolobaratif politik Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) tidak kesampaian, khususnya hubungan antara Bersatu dan UMNO, ia akan mempengaruhi pola gelagat pengundian dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Sejak Mac 2020, kita melihat penjajaran politik telah membawa kepada sama ada gerakan parti gabungan besar dimantapkan atau kemunculan parti baharu. Realitinya, ia menunggu untuk diuji.

Artikel Berkaitan:

Keputusan

Begitu juga tindakan dan keputusan beberapa parti serta kepimpinan yang menyebabkan situasi politik semakin mencabar hari ini. Misalnya, peristiwa Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sudah boleh menubuhkan kerajaan baharu beberapa bulan lalu.

Ia juga membawa kepada persoalan tahap kepercayaan ke atas Anwar oleh DAP kerana berasakan hubungan kerjasama politik dengan UMNO menyukarkan, tahap kerjasama dengan UMNO oleh DAP dan PKR kerana sering dianggap musuh politik kental.

Adakah UMNO bersedia untuk bekerjasama dengan DAP, hubungan PKR dan rakan sekutu lain dalam PH, ketiadaan Pejuang untuk menyokong Anwar dan PH, kerjasama UMNO-Bersatu, kerjasama Pas-UMNO, kerjasama Muafakat Nasional, kerjasama dalam PN, kerjasama PN dan parti Borneo, kerjasama BN dan parti Borneo, kedudukan parti kecil lain sebagai kuasa ketiga dan kedudukan parti Muda untuk generasi muda.

Pertembungan antara personaliti menyebabkan politik semakin menjadi tumpuan. Persepsi menjadi mainan dan bualan. Kesemua ini memungkinkan penjajaran mahupun gabungan besar baharu bakal muncul. Tidak ada lawan atau musuh yang tetap tetapi hanya kepentingan. Tidak mustahil BN dan PKR bekerjasama, di manakah DAP tatkala begitu menjadi tumpuan.

Perpecahan dan penyatuan mesti berpaksikan kepada realiti, bukan kepentingan diri. Ia boleh dilengkapkan dengan pemerhatian etnografi. Misalnya, jika calon bukan Melayu diletakkan bertanding di Batu Pahat, bagaimana peluangnya?

Pada PRU14, Mohd Rashid menang dengan majoriti 17, 894 undi. Beliau mendapat 45,929 undi berbanding calon BN 28, 035 dan Pas 8,173 undi.

Pada PRU 2013, calon PKR, Datuk Mohd Idris Jusi menang dengan majoriti 1,732 undi. 54.74 peratus pengundi kerusi ini adalah pengundi Melayu berbanding pengundi Cina 43.49 peratus dan India 1.29 peratus.

Perpecahan undi Melayu menguntungkan parti lawan jika pun calonnya adalah bukan Melayu, jika sekiranya peratusan kecil pengundi Melayu menyokong mereka.

Suhu politik saban hari mendidih. Masing-masing memahami seni politik tanahair dan cuba menggunakan pendekatannya untuk kekal relevan. Akhirnya, apa yang penting dalam mendepani cabaran mereka, adakah rakyat, parti, kepimpinan atau diri?

* Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia