Thaipusam: Lelaki bawa pisau alasan untuk keselamatan diri ditahan polis

IPOH - Polis menahan seorang lelaki kerana memiliki pisau pemotong sayur semasa sambutan Thaipusam di sekitar Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh, di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Perak DCP Mohammad Azlin Sadari berkata, suspek berumur 34 tahun itu ditahan kira-kira 11.30 pagi.
"Suspek memaklumkan memiliki pisau pemotong sayur itu dengan tujuan sebagai perlindungan diri.
"Bagaimanapun, mengambil kira suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes jenayah kekerasan dan dadah, jadi tidak rasional untuk suspek membawa pisau tersebut dan polis bertindak menahan suspek," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa hadir pada Program High Profile Policing Polis Perak bersama-sama masyarakat bersempena dengan sambutan Thaipusam di pekarangan Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh di sini pada Ahad.
Mohammad Azlin berkata, suspek direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Sementara itu, beliau berkata, Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman telah menahan seorang lelaki berumur 80 tahun pada Ahad kerana menerbangkan dron tanpa permit daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) semasa sambutan berkenaan di sekitar kawasan yang sama.
Beliau berkata, bagaimanapun, lelaki terbabit dibebaskan dengan jaminan polis, namun pihaknya merampas dron yang digunakan bagi tujuan siasatan lanjut.
Dalam pada itu, Mohammad Azlin berkata, sebanyak 763 pegawai dan anggota ditugaskan sepanjang sambutan Thaipusam diadakan.- Bernama
Ringkasan AI
- Polis menahan seorang lelaki yang memiliki pisau pemotong sayur di sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh
- Lelaki berumur 34 tahun itu ditahan sekitar 11.30 pagi
- Suspek memiliki pisau dengan tujuan sebagai perlindungan diri namun ditahan kerana mempunyai rekod lampau jenayah
- Suspek direman tiga hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958
- Seorang lelaki berumur 80 tahun juga ditahan kerana menerbangkan dron tanpa permit semasa sambutan Thaipusam di kawasan yang sama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
