KPDN pantau 9 stesen minyak jualan tinggi di sempadan Kelantan

RANTAU PANJANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengenal pasti sembilan stesen minyak di Kelantan yang dikategorikan berisiko tinggi, dipercayai menjadi tumpuan aktiviti penyelewengan petrol dan diesel bersubsidi khususnya melibatkan kawasan sempadan.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, stesen berkenaan dikenal pasti berdasarkan jualan luar biasa tinggi hasil analisis data selepas pelaksanaan Sistem Kawalan Petrol Subsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS).
Menurut beliau, pemantauan dibuat setiap hari melalui graf jualan dan stesen yang mencatatkan peningkatan mencurigakan akan diberikan perhatian khusus oleh pihak penguat kuasa.
“Kami akan menghantar pegawai untuk menjalankan tugasan statik, iaitu berada di stesen minyak berkenaan bagi memastikan penjualan dibuat secara sah dan tiada unsur penyelewengan.
“Isu ini serius kerana ia melibatkan subsidi tinggi kerajaan kepada rakyat dengan harga RON95 hanya RM1.99 seliter,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja rasmi di sini pada Ahad.
Azman memberitahu, hasil pemantauan awal mendapati sebahagian stesen minyak di kawasan sempadan berpotensi menjadi lokasi aktiviti penyeludupan bahan api, termasuk pengisian petrol dalam kuantiti besar menggunakan tong jerikin serta ubah suai kenderaan.
Ujar beliau, pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya siasatan mendapati berlaku ketirisan subsidi.
“Jika ada unsur penyelewengan, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk menggantung lesen, pendakwaan dan tindakan undang-undang lain,” katanya.
Ringkasan AI
- KPDN mengenal pasti sembilan stesen minyak di Kelantan berisiko tinggi aktiviti penyelewengan bahan api bersubsidi
- Stesen minyak ini dikenal pasti melalui analisis data SKPS dan SKDS
- Pemantauan jualan harian dijalankan untuk mengesan peningkatan jualan mencurigakan
- Pihak penguat kuasa mengadakan pemantauan statik di stesen minyak terlibat
- Penyelewengan subsidi bahan api akan berhadapan tindakan tegas termasuk penggantungan lesen dan tindakan undang-undang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

