X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 16 Oktober 2021

1,358 anggota bomba terima vaksin Covid-19

Zuraida bersama Mohammad Hamdan (kiri) dan pegawai bomba selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer BioNTech di Klinik Kesihatan Putrajaya, Presint 18 hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 1,358 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terlibat secara langsung dengan operasi Covid-19 telah menerima suntikan vaksin sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula pada 24 Febtuari lepas.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, mereka adalah antara 7,483 anggota bomba di seluruh negara yang melaksanakan tugas-tugas barisan hadapan dan disenaraikan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam fasa pertama program vaksinasi terbesar negara itu.

"Pemilihan pegawai yang menerima vaksin ini turut melibatkan mereka berisiko tinggi, mendapat dan menyebarkan jangkitan Covid-19 ketika melaksanakan tugas-tugas kebombaan," katanya kepada pemberita selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Putrajaya Presint 18 di sini pada Jumaat.

Turut menerima suntikan vaksin jenis Pfizer BioNTech di klinik itu pada Jumaat ialah Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid dan empat lagi anggota bomba.

Pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bertemakan 'Lindung Diri, Lindung Semua' dalam tiga fasa bermula 24 Februari lepas untuk memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa Malaysia menerima vaksin Covid-19 menjelang Februari 2022.

Beliau berkata, pegawai bomba yang lain akan menerima vaksin dalam fasa yang seterusnya menerusi pendaftaran di aplikasi MySejahtera.

Zuraida yang akan menerima suntikan dos kedua pada 26 Mac ini berkata beliau tidak berasa apa-apa kesan sampingan selepas menerima suntikan dos pertama pada hari ini.

Dalam pada itu, Zuraida berkata anggota bomba masih lagi melaksanakan proses sanitasi di tempat awam bagi mengekang penularan Covid-19 dan sebanyak 17,963 proses sanitasi telah dilakukan sejak Mac tahun lepas. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!