X

Kindly register in order to view this article
!

Timbunan sampah setinggi bangunan lima tingkat

Usaha memadam kebakaran giat dijalankan anggota bomba dibantu tujuh agensi termasuk Majlis Daerah Tumpat, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Malaysia (JPAM).
A
A

TUMPAT - Timbunan sampah sarap dianggarkan setinggi kira-kira bangunan lima tingkat di tapak pelupusan sampah di Kampung Kok Bedullah, Pengkalan Kubor di sini menyukarkan usaha bomba memadam kebakaran yang berlaku sejak dua minggu lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba, Raja Arisan Raja Ismail berkata, kebakaran bermula 19 Februari lalu membabitkan kawasan timbunan sampah seluas 12 hektar daripada jumlah keseluruhan 20 hektar tapak pelupusan itu.

“Kebakaran merebak sedalam 15 meter dan permukaan tapak pelupusan itu juga ada sampah setinggi 10 meter.

“Ini menyukarkan bomba memadam api, diibaratkan sebuah bangunan setinggi lima tingkat terbakar di bahagian dalam tanah tersebut,” katanya ketika ditemui pada Operasi Bersepadu Gotong-Royong tujuh agensi yang memadam kebakaran itu di sini pada Khamis.

Operasi memadam api masuk hari ke-14 sejak kebakaran bermula dua minggu lalu di tapak pelupusan sampah di Kampung Kok Bedullah, Pengkalan Kubor, Tumpat.
Operasi memadam api masuk hari ke-14 sejak kebakaran bermula dua minggu lalu di tapak pelupusan sampah di Kampung Kok Bedullah, Pengkalan Kubor, Tumpat.

Beliau berkata, anggota bomba berdepan bahaya jerlus kesan sisa kebakaran dan lemas asap serta perlu menggunakan teknik ‘fire break’ dengan membahagikan zon kebakaran A,B,C,D dan E untuk kerja memadam api.

“Sampah padat dengan pelbagai gas yang terhasil. Bomba perlu menggali sampah keluar untuk memadamkan punca api dan membanjirkan kawasan ini dengan sumber sungai di sebelah tapak sampah ini.

“Memasuki hari ke-14 operasi selesai di zon A dan B manakala tumpuan diberikan ke zon selebihnya yang dijangka memakan masa keseluruhan lebih sebulan untuk padam sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) terburuk di kawasan itu pada Rabu mencecah paras sangat tidak sihat iaitu 218 menyebabkan penduduk berhampiran 500 meter dari lokasi dipindahkan ke tempat tinggal sementara.

Raja Arisan Raja Ismail
Raja Arisan Raja Ismail

“Asap tebal yang berbahaya di kawasan ini merebak sehingga sejauh 10 kilometer dan menyebabkan jerebu.

“Seramai 50 anggota berusaha memadam api bagi menggelakkan pencemaran udara,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal punca kejadian dipercayai kerana cuaca panas dan kemarau namun pihaknya tidak menolak kemungkinan kebakaran dilakukan oleh individu yang mengambil besi di kawasan buangan itu.

“Kawasan milik Majlis Daerah Tumpat ini dibuka pada tahun 1982, mengumpul sampah penduduk di Tumpat sahaja dan masih digunakan sehingga hari ini.

“Dipercayai ada yang menceroboh masuk untuk mengutip barangan terbuang yang boleh dijual semula,” katanya.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas (berbahaya).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!