X

Kindly register in order to view this article
!

Mufti nasihat Sajat taubat sebelum terlambat

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A

SHAH ALAM - Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menasihati usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat, 36, supaya segera bertaubat.

Wan Salim berkata, tiada manusia yang terlepas daripada melakukan dosa kecuali para Rasul.

Beliau berkata, ALLAH menjadikan manusia sebagai makhluk yang serba lemah dan tahu manusia akan melakukan kesalahan sama ada meninggalkan apa yang disuruh-Nya atau melakukan apa yang dilarang-Nya.

“ALLAH menghendaki manusia menjadi wakil-Nya di bumi (khalifah) dan supaya membolehkan manusia memainkan peranannya bagi memakmurkan bumi ini berbekalkan dengan nafsu.

“Tanpa nafsu, tidak akan wujud pembangunan dan kemajuan. Namun nafsu perlu dikawal dengan akal yang dipandu oleh hukum agama. Dengan ini kesejahteraan hidup akan terjamin.

“Tanpa panduan akal dan agama, maka nafsu akan memesongkan seseorang dan mendorong ke arah keburukan yang memudaratkan diri sendiri dan orang lain,” katanya di sini pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Muhammad Sajjad ulangi ikrar keluar Islam

Wan Salim berkata, Islam merupakan agama yang selari dengan fitrah asal kejadian manusia yang menghendaki lelaki dan wanita mengikuti kelakuan, perwatakan termasuk berpakaian yang sesuai dan selaras dengan kejadian masing-masing.

“Sebarang penyimpangan daripada fitrah asal kejadian ini akan menyukarkan diri sendiri dan tidak akan membahagiakan pelakunya.

“Justeru, kembalilah kepada fitrah dirinya sebenar sebagai seorang lelaki bukan wanita atau khunsa dan bertaubatlah kepada ALLAH SWT sementara kesempatan masih ada, demi kesejahteraan hidup anda sendiri,” katanya.

Wan Salim juga menasihatkan agar tidak menurut perasaan 'bebal' sehingga sanggup murtad daripada agama Islam yang suci.

"Jika diteruskan juga kehendak hati yang marah, kelak pasti anda akan menyesal serta menerima akibat yang buruk. Agama Islam dan umatnya tidak akan kerugian apa-apa kerana tindakan anda yang tidak bijaksana ini.

“Kasihanilah kepada diri anda sendiri. Hidup di dunia ini hanyalah sementara dan selepas ini kita semua akan berpindah ke alam yang kekal abadi.

“Sekian nasihat daripada seorang tua, semoga bermanfaat untuk Nur Sajat,” katanya.

Pada Selasa, Sajat menerusi sebuah video yang tular di media sosial menyatakan hasrat secara terbuka untuk keluar daripada agama Islam.

Video yang berdurasi 1 minit 45 saat itu memaparkan luahannya yang seakan-akan mahu menukar agama selepas mendakwa kecewa dengan tindakan orang di sekeliling termasuk dengan apa yang berlaku kepadanya.

Sebelum ini, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang mengesan Sajat bagi melaksanakan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Selasa lalu.

Nur Sajat dikenakan waran tangkap selepas gagal hadir sebutan semula pertuduhan berpakaian wanita pada majlis bacaan Yasin dan solat hajat di Seksyen 16, Shah Alam pada 23 Februari 2018.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Bukan 122 orang tangkap Sajat’

Mahkamah keluar waran tangkap terhadap Sajat


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!