Muhammad Sajjad ulangi ikrar keluar Islam

Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman
Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman
A
A
A

SHAH ALAM - Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, 36, atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat menyatakan hasrat untuk keluar daripada agama Islam melalui sebuah video yang tular di media sosial.

Video yang berdurasi 1 minit 45 saat itu memaparkan luahannya yang seakan-akan mahu menukar agama selepas mendakwa kecewa dengan tindakan orang di sekeliling termasuk dengan apa yang berlaku kepadanya.

Menurut Muhammad Sajjad, tindakan orang ramai termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bukan memberi iktibar, sebaliknya membuatkannya lebih takut dan berasa lebih baik untuk keluar daripada agama Islam.

“Lepas JAIS keluarkan ‘statement’ (kenyataan), saya sudah malas nak fikir.

“Saya cakap ini bukan saya nak mengugut ke tak. Secara sumpah demi nama saya, nama ayah saya, nama mak saya, saya dah tak nak menjadi orang Islam.

“Saya keluar daripada agama Islam, itu lebih afdal. Saya tak main-main, saya cakap betul. Mereka yang buat saya nak keluar daripada Islam. Mereka buat saya lebih jauh daripada Islam,” katanya.

Tangkap layar rakaman video tular di media sosial berhubung pengakuan Muhammad Sajjad untuk keluar daripada agama Islam.
Tangkap layar rakaman video tular di media sosial berhubung pengakuan Muhammad Sajjad untuk keluar daripada agama Islam.

Bagaimanapun, tarikh muat naik video berkenaan tidak dapat dipastikan sama ada ia video baharu atau lama.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu, satu serbuan dijalankan pihak berkuasa di kediaman usahawan kosmetik berkenaan terletak di Seksyen 10, Kota Damansara kira-kira jam 9 malam bagaimanapun usahawan tersebut tidak ditemui.

Dalam pada itu, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad sebelum ini berkata, hanya sekitar empat orang penguat kuasa JAIS diperlukan untuk menahan usahawan kosmetik, Nur Sajat atau nama sebenarnya, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman dalam satu-satu masa.

Pada Selasa lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Selangor mengeluarkan waran tangkap terhadap Nur Sajat kerana gagal hadir ke prosiding kes berpakaian wanita dalam kejadian tiga tahun lalu.

Waran tangkap itu dikeluarkan oleh Hakim Syarie, Mohammad Khalid Shaee @ Shaii.