‘Bukan 122 orang tangkap Sajat’

Sajat - Foto Bernama
Sajat - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - “Bukannya 122 orang serbu tangkap Nur Sajat dalam satu masa,” jelas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Beliau sebaliknya berkata, hanya sekitar empat orang penguat kuasa JAIS diperlukan untuk menahan usahawan kosmetik, Nur Sajat atau nama sebenarnya, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman dalam satu-satu masa.

Mohd Shahzihan
Mohd Shahzihan

“Jumlah penguat kuasa seramai 122 orang itu merupakan jumlah signifikan untuk mereka yang mempunyai kuasa menahan Nur Sajat.

“Bagaimanapun, hanya empat orang penguat kuasa JAIS diperlukan untuk menahan Nur Sajat jika beliau berada di dalam premis seperti rumah, hotel dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, anggota penguat kuasa JAIS akan ditempatkan di lokasi biasa Nur Sajat sering berada.

"Penguat kuasa JAIS boleh menahan usahawan kosmetik itu tanpa menunjukkan waran tangkap daripada Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

"Nur Sajat boleh ditangkap oleh salah seorang daripada 122 penguat kuasa JAIS kerana waran tangkap terhadapnya telah dikeluarkan oleh mahkamah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Shahzihan berkata, tindakan dibuat mengikut Seksyen 18, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah iaitu mana-mana pegawai penguat kuasa agama atau pegawai masjid tanpa perintah daripada hakim atau tanpa waran boleh menangkapnya.

“Mana-mana orang yang waran telah dikeluarkan terhadapnya di bawah enakmen ini masih berkuat kuasa boleh ditangkap walaupun waran itu tidak ada dalam milikannya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah keluar waran tangkap terhadap Sajat

Pada Selasa, Mahkamah Tinggi Syariah Selangor mengeluarkan waran tangkap terhadap Nur Sajat kerana gagal hadir pada prosiding kes berpakaian wanita dalam kejadian tiga tahun lalu.

Waran tangkap itu dikeluarkan oleh Hakim Syarie, Mohammad Khalid Shaee @ Shaii.