X

Kindly register in order to view this article
!

Mahkamah keluar waran tangkap terhadap Sajat

Sajat. - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Selasa mengeluarkan waran tangkap terhadap usahawan kosmetik, Nur Sajat kerana gagal hadir pada prosiding kes berpakaian wanita tiga tahun lalu.

Waran tangkap itu dikeluarkan oleh Hakim Syarie, Mohammad Khalid Shaee @ Shaii terhadap Nur Sajat atau nama sebenar Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman.

Sinar Harian difahamkan, prosiding hari ini dijadualkan jam 9 pagi untuk sebutan semula kes, namun kelibat usahawan kontroversi itu tidak kelihatan sehingga tamat prosiding.

Dalam pada itu, peguam, Zuri Zabuddin Budiman ketika ditemui di luar mahkamah berkata, Sajat tidak hadir di mahkamah pada Selasa, namun beliau diwajibkan untuk menghadiri prosiding pada tarikh baharu itu kelak.

Disebabkan itu katanya, prosiding kes ditangguh ke 1 Jun depan untuk sebutan semula kes.

"Saya tunggu juga Sajat, tetapi dia tak datang.

"Pihak kami mungkin akan hantar mitigasi, tetapi belum dibincangkan lagi," katanya.

Selain Zuri Zabuddin, Sajat turut diwakili peguam syarie, Ahmad Nazib, Azlina Che Hasan dan Amirah Zainal.

Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Syarie, Atras Mohd Zain.

Pada 6 Januari lalu, Muhammad Sajjad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini atas tuduhan sebagai seorang lelaki berpakaian menyerupai wanita pada 2018 lalu.

Sebelum itu satu rakaman video tular di laman sosial, memaparkan Sajat menangis dalam keadaan bergari.

Beliau menerusi Instagram miliknya mendakwa, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) seakan melengah-lengahkan urusan surat jaminan dan turut menyebabkan kecederaan kepadanya ketika proses siasatan dijalankan di Ibu Pejabat JAIS di sini.

Muhammad Sajjad, 36, turut mendakwa, dilayan dengan buruk dan digari sehingga mengalami bengkak di bahagian badan kerana bergelut untuk mempertahankan diri walaupun sudah tampil memberikan kerjasama untuk siasatan pihak JAIS.

Dalam pada itu, JAIS mengesahkan pihaknya menjalankan siasatan terhadap Muhammad Sajad.

ARTIKEL BERKAITAN: Nur Sajat mengaku tidak bersalah berpakaian wanita


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!