Keputusan Steven Choong sokong PN tepat pada masanya

Che Zakaria (kanan) meninjau hari pertama sesi pembukaan persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, pada Isnin.
Che Zakaria (kanan) meninjau hari pertama sesi pembukaan persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, pada Isnin.
A
A
A

PASIR GUDANG - Keputusan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tepat pada masanya, sekali gus mengukuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh berpendapat, Steven Choong berpandangan jauh bagi memastikan rakyat di kawasan Parlimen Tebrau terbela dan mendapat perhatian sewarjarnya.

"Ini kerana wakil rakyat yang bersama-sama kerajaan lebih mudah untuk disalurkan peruntukan. Keputusan Steven Choong itu adalah atas kesedaran beliau untuk menyelesaikan isu-isu rakyat di kawasannya.

"Tak perlulah kita membuat spekulasi. Parlimen Tebrau sedang mengalami proses urbanisasi yang pesat dan pantas berkembang. Banyak masalah rakyat perlu diselesaikan antaranya banjir, pencemaran sungai, pembuangan sampah haram dan isu perumahan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa meninjau hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Dahlia di sini pada Isnin sebelum ke SK Taman Rinting 1, SK Taman Rinting 2, SK Taman Rinting 3, SK Masai, SK Taman Scientex dan SK Taman Cendana.

Dalam lawatan tersebut beliau menghulurkan sumbangan wang tunai RM500 bagi membeli cecair nyah kuman untuk digunakan di semua SK itu.

Steven Choong dan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien masing-masing daripada PKR menyatakan sokongan kepada kerajaan PN apabila menyerahkan akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani mereka kepada Perdana Menteri pada Ahad.

Penyerahan SD tersebut dimuat naik Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam hantaran terbaharu akaun Facebook rasmi beliau pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Keputusan Steven Choong itu mengejutkan ramai pihak terutama selepas sehari isu tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Amanah Negara (Amanah) Johor dilaporkan menyertai PKR.

Wakil rakyat tersebut ialah ADUN Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim; ADUN Serom, Faizul Amri Adnan dan ADUN Mahkota, Mohd Said Jonid.

Mengulas lanjut, Che Zakaria berkata, pengukuhan kerajaan PN penting bagi memastikan usaha memerangi Covid-19 dan semua perancangan untuk rakyat dapat diteruskan tanpa diganggu-gugat pihak berkepentingan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan memberikan sumbangan sama untuk semua sekolah dalam DUN Permas bermula Isnin bagi memastikan pembukaan sekolah berjalan lancar selain tidak wujud kluster sekolah.