'Saya rasa penjawat awam terkejut' - TPM

Ahmad Zahid ketika sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidifitri Parlimen Jelebu di Dataran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Jelebu, Simpang Pertang hari ini. Foto Bernama
Ahmad Zahid ketika sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidifitri Parlimen Jelebu di Dataran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Jelebu, Simpang Pertang hari ini. Foto Bernama
A
A
A

JELEBU - Pengumuman kenaikan gaji penjawat awam 15 peratus adalah bukti kesungguhan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai jasa dan perkhidmatan kakitangan awam di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, apa yang lebih mengejutkan kenaikan tersebut merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara.

"Saya rasakan penjawat awam sangat terkejut dengan pengumuman Perdana Menteri yang mulai 1 Disember berlaku kenaikan gaji sebanyak 15 peratus.

"Ini merupakan satu kenaikan terbesar setakat ini kerana sebelum ini kenaikan sekitar 13 peratus. Selama 12 tahun, ia merupakan satu penantian yang panjang kerana ikut perjanjian kerajaan dan juga pegawai-pegawai Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Jabatan Perkhidmatan Awam akan buat kajian terhadap skim perkhidmatan awam selepas 10 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2024 UMNO Negeri Sembilan di Dataran Pejabat Parlimen Jelebu di sini pada Selasa.

Menurutnya, walaupun kedudukan kewangan negara kurang memuaskan setakat ini disebabkan faktor ekonomi, namun Perdana Menteri sangat komited untuk menghargai jasa pegawai dan kakitangan kerajaan di seluruh negara.

Sehubungan itu, beliau berharap semua penjawat awam dapat meningkatkan produktiviti dan prestasi kerja mereka.

Dalam pada itu Presiden UMNO berkenaan menafikan yang pengumuman kenaikan itu dibuat sebagai gula-gula Pilihan Raya Kecil(PRK) Kuala Kubu Baharu.

Artikel Berkaitan:

" Hari ini adalah 1 Mei hari pekerja dan PRK pula 11 Mei, kerana apa pun yang dibuat kerajaan pastinya pelbagai interpretasi yang akan dibuat.

"Kerajaan tidak memikirkan soal bagaimana interpretasi daripada pihak tertentu, tapi kita sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab tentunya memenuhi apa yang selama ini dijanjikan oleh kerajaan," katanya.

Sebelum ini media melaporkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus bermula 1 Disember 2024.

Kenaikan gaji penjawat awam melibatkan kos mencecah RM10 bilion dan dianggap terbaik dalam sejarah Kerajaan Madani.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!