Nafas edar benih padi sah

Pengedaran benih padi sah oleh Nafas membantu memudahkan petani dalam meningkatkan produktiviti tanaman mereka.
Pengedaran benih padi sah oleh Nafas membantu memudahkan petani dalam meningkatkan produktiviti tanaman mereka.
A
A
A

PASIR SALAK - [DIKEMAS KINI] Pengedaran benih padi sah oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) memberi kelegaan kepada pesawah bagi kawasan Seberang Perak di sini.

Bagi seorang pesawah, Md Nazir Awang, 38, pengedaran benih padi sah melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Seberang Perak itu sangat dinantikan oleh petani yang mengusahakan sawah padi di kawasan tersebut.

Md Nazir berkata, sebelum ini kebanyakan petani mendapatkan benih padi sah melalui broker tetapi kini mereka boleh memperolehnya melalui PPK.

“Ia sesuatu yang baik kerana kami percaya dengan adanya sistem baharu pengedaran benih padi sah ini, pesawah akan memperoleh benih lebih berkualiti berbanding sebelumnya.

“Malah, sebagai ahli PPK, saya juga melihat kaedah baharu pengedaran benih padi sah ini akan meningkatkan hasil PPK sekali gus memberi manfaat kepada ahli,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pengedaran secara sistematik oleh Nafas akan membantu pesawah memulakan taburan benih mengikut jadual yang ditetapkan.

Md Saad menunjukkan beg benih padi sah yang disimpan di dalam gudang PPK Seberang Perak sebelum diedarkan kepada pesawah di sekitar kawasan Seberang Perak, Pasir Salak.
Md Saad menunjukkan beg benih padi sah yang disimpan di dalam gudang PPK Seberang Perak sebelum diedarkan kepada pesawah di sekitar kawasan Seberang Perak, Pasir Salak.

Md Nazir yang mengusahakan sawah seluas 20 hektar di Sungai Buaya di sini mengakui sangat teruja menantikan benih padi sah yang akan diterima tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

Beliau yakin dengan sistem baharu itu, pesawah akan menerima bekalan benih padi sah secukupnya mengikut tempoh masa yang diinginkan bagi memastikan jadual semusim tidak terganggu.

Sementara itu, Nanyan Hamid, 66, berkata, sepanjang 45 tahun mengusahakan sawah padi, sistem tersebut pertama kali diperkenalkan kepada petani sebagai usaha untuk membekalkan benih padi sah berkualiti.

Menurutnya, sebelum ini benih padi sah dibeli daripada syarikat swasta tetapi kali ini petani terus mendapat benih tersebut daripada Nafas melalui PPK.

“Sebagai pesawah, kami amat mementingkan kualiti benih padi sah dan bekalan yang mencukupi supaya musim padi tidak terganggu. Kami yakin dengan sistem baharu ini akan membantu memudahkan petani.

“Saya sendiri memerlukan kira-kira 550 beg benih padi sah untuk memenuhi keluasan keseluruhan 52 hektar sawah di Seberang Perak,” katanya yang tinggal di Bukit Chawi di sini.

Nanyan berkata, harga benih padi sah yang diedarkan melalui PPK lebih berpatutan berbanding pembelian dengan broker sebelum ini.

Menurutnya, pesawah hanya membayar RM35 bagi satu beg benih padi berbanding sebelum ini sehingga RM38 untuk satu beg benih padi sah.

Beliau berkata, kebanyakan pesawah di Seberang Perak di sini telah menggunakan teknologi dron bagi membantu meningkatkan lagi produktiviti tanaman padi.

“Proses membaja dan meracun, semuanya menggunakan dron kerana dapat menjimatkan kos mengusahakan sawah semusim.Cepat dan mudah

“Dengan adanya sistem pengedaran benih padi sah oleh Nafas mengikut jadual ditetapkan, proses penanaman dapat dilakukan dengan lebih cepat dan mudah,” katanya.

Pengedaran benih padi sah oleh Nafas memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 petani di sekitar kawasan Seberang Perak di sini.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Seberang Perak, Md Saad Harun berkata, sehingga kini pihaknya sudah menerima 22,000 beg daripada 42,000 beg benih padi sah daripada Nafas.

Md Saad berkata, pemberian benih padi sah itu sudah diberikan secara berperingkat kepada pesawah terutama bagi mereka yang akan memulakan penanaman padi pada 8 Mac ini.

“Pengedaran kali ini sangat berbeza apabila PPK sebagai pengedar pusat. Sebelum ini, pembekal benih padi akan menghantar kepada broker tetapi kini mereka perlu melalui Nafas dan PPK.

“Sebelum ini, kami berdepan dengan masalah benih padi tak sah jadi sah. Pengambilalihan oleh Nafas bermakna agensi ini akan mengawal benih padi. Jika pembekal tidak ikut peraturan maka Nafas tidak akan menerima benih itu,” katanya.

Menurut Md Saad, walaupun Nafas menghantar terus benih padi sah itu kepada PPK, pihaknya turut melantik beberapa ejen untuk membekalkan benih berkenaan kepada petani.

Nafas lindungi petani dari manipulasi benih padi sah

Pelantikan Nafas sebagai pembekal dan pengedar tunggal benih padi sah bertujuan memastikan tidak berlaku sebarang manipulasi terhadap bekalan diterima kepada petani.

Pengarah Bisnes Sektor Awam Nafas, Saripol Baharin Karim berkata, sebelum ini terdapat pelbagai isu melibatkan benih padi sah berkenaan antaranya melibatkan harga tidak terkawal, kualiti benih padi dan bekalan padi sukar diperoleh.

Saripol Baharin berkata, disebabkan itu kerajaan memikirkan satu dasar baharu iaitu memperkenalkan harga siling berdasarkan kajian yang dibuat dengan menetapkan harga RM35 bagi setiap beg kepada petani.

"Untuk melaksanakan program harga siling benih padi sah ini platform yang terbaik adalah rangkaian PPK kerana kami mempunyai pengalaman dalam mengedarkan input-input pertanian seperti baja dan racun.

"Bermula awal tahun 2021, Nafas dilantik sebagai pemborong tunggal yang mana untuk benih padi sah ini hanya boleh dijual kepada Nafas. Semua pengeluar yang ada hanya boleh menjual kepada Nafas.Nafas pula hanya boleh menjual kepada PPK manakala di setiap kawasan hanya PPK boleh menjual kepada petani.

"Ini bertujuan untuk mengelakkan manipulasi selain memastikan petani mendapat benih padi sah dengan harga dikawal. Nafas perlu memastikan pertama ialah benih padi sah yang diedarkan itu berkualiti, kedua memastikan benih padi sah itu ada dalam pasaran dan yang ketiga harga terkawal," katanya.

Jelas Saripol Baharin, setiap beg benih padi sah tersebut diberikan subsidi oleh kerajaan sebanyak RM20.60 untuk 20 kilogram (kg) bertujuan supaya petani mengggunakan benih padi sah yang berkualiti.

Menurutnya, sehingga 19 Februari lalu, sebanyak 147,104 beg telah diedarkan di Selangor, Perak, Johor, Kelantan, Negeri Sembilan, Terengganu dan Pahang oleh ejen rasmi yang berlesen melalui PPK.

Beliau berkata, Perak menerima jumlah tertinggi dengan 91,966 beg iaitu 1,839.32 metrik tan diikuti Kelantan sebanyak 26,576 beg dan Selangor sebanyak 19,857 beg.

Dalam pada itu, Saripol Baharin memaklumkan bahawa Nafas turut memperkenalkan sistem Trek Benih Padi Sah (TrekBPS) bagi memantau aktiviti pengedaran benih padi sah.

Menurutnya, sistem tersebut merupakan sebuah platform digital bagi mengesan aktiviti dan semua transaksi kewangan yang berlaku bermula dari pengeluar kepada ejen sah sehingga kepada penerimaan pesawah sebagai pengguna akhir.

Beliau berkata, sistem tersebut mempunyai ciri keselamatan dengan menggunakan kod QR atau tag Near Field Communication (NFC) yang dicadangkan Sirim Berhad (Sirim).

"Melalui sistem ini juga, ejen atau Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) boleh membuat tuntutan subsidi selepas beg benih padi sah diterima pesawah. Seterusnya, Agrobank akan membuat pembayaran kepada Nafas berdasarkan jumlah benih padi sah yang dibeli pesawah.

"Kesemua transaksi dibuat secara langsung bagi memastikan tiada ketirisan maklumat yang berlaku dan mengelakkan penyelewengan kuantiti, harga dan kualiti jenis benih padi sah," katanya.

INFO

Definisi benih padi sah

-Benih daripada progeni benih padi asas atau daftar yang dikawal pengeluarannya mengikut prosedur tertentu bagi memastikan tahap ketulenan genetik dan diperakui oleh agensi pengesah.

Insentif Benih Padi Sah (IBPS)

-Insentif Benih Padi Sah (IBPS) merupakan salah satu daripada program subsidi dan insentif yang diuruskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi membantu golongan sasar dalam sektor padi dan beras iaitu pesawah padi.

-Ia bermatlamat untuk membantu pesawah mengurangkan kos pengeluaran padi serta menggalakkan mereka menggunakan benih padi sah yang berkualiti, bermutu tinggi, rintang penyakit dan mengurangkan risiko padi angin.

Hala tuju dan penambahbaikan program IBPS:

1. Melantik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebagai pemborong tunggal dalam program IBPS bermula November 2020;

2. Pelantikan Nafas juga akan membolehkan penetapan harga siling benih padi sah dilaksanakan tanpa melibatkan tambahan peruntukan insentif kepada Kerajaan;

3. Lesen dan permit akan diberikan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sebagai Peruncit Tunggal dalam tempoh interim sehingga 30 Jun 2021

4. Penetapan beberapa varieti benih padi sah yang akan dihasilkan oleh syarikat pengeluar benih padi sah untuk dipilih oleh pesawah; dan

5. Menyediakan stok penimbal benih padi sah bagi menangani isu kekurangan bekalan benih padi sah di luar jangka.

Manfaat keseluruhan yang dinikmati petani:

1. Tiada Kos Tambahan

- Model pengedaran ini tidak memerlukan kos tambahan daripada kerajaan.

2. Kawalan Sistem Pengedaran

- Sistem pengedaran lebih teratur dan sistematik.

3. Kawalan Harga

- Pengeluar, pengedar, wakil pengedar dan petani tertakhluk kepada kawalan kualiti yang boleh dikesan.

4. Kawalan Bekalan Mencukupi

- Kuantiti bekalan oleh pengeluar kepada pengedar, wakil pengedar dan petani boleh diketahui.

5. Pembangunan Pengkalan Data (Database Pesawah)

- Maklumat data jualan, data pesawah dapat dibangunkan dan dikemaskini secara sistematik melalui laporan dan kemas kini sistem pengkalan data.