'Hati-hati benih padi palsu di pasaran'

Gambar hiasan. Gambar kecil: Abdul Rashid
Gambar hiasan. Gambar kecil: Abdul Rashid
A
A
A

ALOR SETAR - Petani dinasihatkan berhati-hati ketika membeli benih padi berikutan terdapat benih padi sah tiruan dikhuatiri dijual dalam pasaran.

Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa telah terdapat benih padi sah tiruan yang mengguna pakai bungkusan palsu meniru jenama-jenama tertentu di pasaran.

Beliau berkata, ada petani terpaksa menanggung kerugian apabila terpedaya dengan bungkusan palsu yang di premis perniagaan tertentu di Kedah.

"Sehubungan itu, kita berharap golongan petani supaya lebih cakna ketika membeli benih supaya tidak tertipu dan diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab ini.

"Ketika pembelian, petani diminta menyimpan penandaan (tagging) dan resit belian benih padi daripada pemborong atau pengedar sebelum merendam benih bagi tujuan bahan bukti sama ada ia tulen atau tiruan.

"Sekiranya, petani ragu-ragu dengan benih padi selepas melakukan pembelian dan pemeriksaan, maka mereka diminta membuat laporan segera kepada pihak berkaitan seperti pengeluar, Jabatan Pertanian serta Pejabat Kawalselia Padi dan Beras," katanya dalam kenyataan kepada pemberita pada Jumaat.

Abdul Rashid berkata, golongan petani ini juga diminta memuat naik makluman berkaitan benih padi tiruan di media sosial bagi memberi kesedaran kepada petani lain.

"PeSAWAH menegaskan penguatkuasaan oleh pihak berwajib perlu konsisten serta tindakan tegas mesti diambil seperti menggantung lesen pemborong dan pengedar yang menjual benih padi tiruan ini jika terbukti bersalah," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau mencadangkan Talian Aduan Khas diwujudkan bagi memudahkan petani ataupun pengguna memberi atau mendapatkan maklumat berkenaan.