5 juta pelajar mula ke sekolah

Murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Felda Chini, Pahang, Syiffa Lediya Mohd Najib, 8, mencuba peralatan perlindungan diri (PPE) ketika bersama ibu Saiyidah Hamdan, 34, membeli pakaian sekolah untuk dipakai pada hari pertama persekolahan secara bersemuka tahun ini.
Murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Felda Chini, Pahang, Syiffa Lediya Mohd Najib, 8, mencuba peralatan perlindungan diri (PPE) ketika bersama ibu Saiyidah Hamdan, 34, membeli pakaian sekolah untuk dipakai pada hari pertama persekolahan secara bersemuka tahun ini.
A
A
A

MUKADIMAH Lebih lima juta pelajar mula kembali ke sekolah secara berperingkat dengan murid prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua sekolah rendah memulakan sesi persekolahan hari ini. Murid Tahun Tiga, Tahun Empat, Tahun Lima dan Tahun Enam pula akan bersekolah bermula 8 Mac 2021.

Bagi sekolah menengah pula, ia terbahagi kepada dua kumpulan iaitu sesi persekolahan Kumpulan A akan bermula pada 4 April dan 5 April 2021 bagi Kumpulan B.Berdasarkan tinjauan Sinar Harian di seluruh negara, ibu bapa dan pihak sekolah telah melakukan persediaan bagi menerima semula kehadiran pelajar.Kedai-kedai yang menjual pakaian dan peralatan sekolah juga menjadi tumpuan orang ramai selepas Kementerian Pendidikan membuat pengumuman mengenai perkara tersebut.

Bagaimanapun ramai dalam kalangan ibu bapa mengambil langkah untuk berbelanja secara berhemah kerana bimbang langkah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan semula.Malah ada antara mereka juga sebelum ini telah mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk membeli gajet bagi mengikut PdPR.

DEMI masa depan pendidikan anak-anak, kebanyakan ibu bapa reda apabila terpaksa mengeluarkan wang sekali lagi bagi membeli peralatan persekolahan.

Rata-rata ibu bapa di bandar raya Kuantan, Pahang mengakui mereka pasrah dengan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia yang mahu memulakan sesi persekolahan bermula hari ini, meskipun sudah banyak wang dilaburkan untuk membeli kelengkapan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) secara talian bulan lalu.

Suri rumah, Junaidah Abdul Rahim, 41, berkata, persiapan kelengkapan sekolah anak sudah dilakukan pada awal Januari lalu sebagaimana takwim asal sesi persekolahan bermula.

“Saya tiada masalah bila sekolah bermula kerana semua kelengkapan sudah sedia, tambahan pula saya membeli pakaian seragam anak saiz besar kerana tidak tahu bila sesi persekolahan akan bermula.“Bila KPM putuskan sekolah dibuka semula, saya minta anak-anak mencuba semula pakaian itu. Alhamdulillah pakaian seragam mereka masih muat, jadi tidak perlu saya membazir duit untuk membelinya semula,” katanya ketika ditemui di Kuantan pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Hafizah Othman (kanan) bersama anaknya, Baihaqi Rizqi mengemas buku dan peralatan sekolah anaknya yang akan memasuki Tahun Satu pada sesi persekolahan bermula hari ini ketika tinjauan pada Ahad.
Hafizah Othman (kanan) bersama anaknya, Baihaqi Rizqi mengemas buku dan peralatan sekolah anaknya yang akan memasuki Tahun Satu pada sesi persekolahan bermula hari ini ketika tinjauan pada Ahad.

Junaidah berkata, kebanyakan ibu bapa sudah membelanjakan banyak wang untuk membeli peralatan PdPR dan ia pasti terkesan terutamanya keluarga yang kurang berkemampuan.

Jelasnya, situasi itu memberi bebanan berganda buat mereka, kerana ada keluarga yang terpaksa ikat perut, berhutang, meminjam dan sebagainya kerana sesi PdPR.

“Mereka sudah melabur hampir ratusan dan ribuan ringgit untuk membeli kelengkapan PdPR yang memerlukan penggunaan gajet seperti telefon pintar, komputer riba yang lengkap dengan alat pencetakan dan sebagainya.

“Bagaimanapun, kesemua gajet itu masih berguna pada masa akan datang lebih-lebih lagi kita masih belum pasti dengan situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara sekarang. Jadi mahu tidak mahu kita terpaksa menerimanya,” katanya.

Sementara itu, pemandu e-hailing Grab, Muhammad Shahril Che Roos, 32, mengakui keperitan itu kerana terpaksa mengeluarkan kos sekali lagi untuk membeli kelengkapan dan yuran persekolahan anak-anak.

“Modal dah keluar banyak beli alatan PdPR, ini sesi persekolahan bersemuka akan bermula dalam masa terdekat... saya ingat sepanjang tempoh darurat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) anak-anak tidak perlu ke sekolah tapi berlaku sebaliknya.

“Jadi, terpaksa terima dan reda dengan keputusan KPM. Sepatutnya kerajaan membuat keputusan yang menang-menang untuk kedua-dua pihak kerana bukan semua ibu bapa mempunyai sumber kewangan yang banyak,” katanya.

Muhammad Shahril berkata, dia berharap pembukaan sekolah kali ini dapat berjalan lancar berpandukan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kita harap guru-guru dapat memantau pelajar agar mereka patuhi SOP ditetapkan,” katanya.

Bagi peniaga perabot, Azrilnaim Ahmad, 42, ibu bapa perlu akur dengan keputusan KPM untuk memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini.

Katanya, keputusan sudah dibuat dan ibu bapa tiada pilihan kecuali terpaksa menghantar anak-anak ke sekolah.

“Mahu tidak mahu kita kena ikut. Saya tahu ada ibu bapa yang gembira, ada juga yang sebaliknya kerana terpaksa mengeluarkan wang untuk persiapan dan yuran buat kali kedua.

“Saya harapkan pihak sekolah dapat memperketatkan pematuhan SOP dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya.

Bapa kepada dua anak itu memberitahu, pembukaan sesi persekolahan juga memberi kesan positif kepada pengusaha van sekolah.

“Sekurang-kurangnya mereka boleh menarik nafas lega dan ada sedikit pendapatan untuk tampung kehidupan seharian mereka nanti,” katanya.