X

Kindly register in order to view this article
!

PKP: Perbelanjaan pusat jagaan anak yatim meningkat 50 peratus

Dr Ahmad Luqman bersama Ahmad Hanafi dan Pengerusi Kelab Belia Kolej Cosmopoint Ipoh, Chong Wei Jing memberikan penerangan mengenai penjagaan kebersihan diri kepada penghuni Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman, Ipoh. Gambar kecil: Nurazilah
A
A

IPOH - Peningkatan perbelanjaan sehingga 50 peratus antara cabaran yang perlu dihadapi Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman di sini sepanjang tempoh penularan Covid-19.

Setiausahanya, Nurazilah Ahmad Mazlan berkata, ia merangkumi bayaran utiliti dan makanan bagi keperluan semua anak-anak yatim jagaan mereka.

Menurutnya, terdapat 21 anak yatim menghuni pusat berkenaan berusia antara enam hingga 17 tahun terdiri daripada asnaf yatim dan yatim piatu.

"Semua aktiviti luar telah dihentikan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi anak-anak memang banyak menghabiskan masa di pusat jagaan sahaja mengikuti aktiviti dalaman seperti kelas mengaji dan fardu ain.

"Jadi peningkatan kos tanggungan bulanan terutama bil elektrik, air dan internet memang sudah dijangka, boleh dikatakan meningkat lebih separuh dari bayaran sedia ada.

"Lebih-lebih lagi perbelanjaan untuk penyediaan makanan kerana kita nak pastikan mereka cukup makan," katanya ketika ditemui sempena program amal anjuran Pertubuhan Kesihatan Jantung Malaysia (MyHeart) bersama Kelab Belia Kolej Cosmopoint Ipoh pada Ahad.

Beliau bagaimanapun bersyukur kerana dalam tempoh Covid-19 ini, orang ramai tidak putus menyalurkan sumbangan berbentuk dana dan barangan makanan keperluan harian.

Katanya, hampir 80 peratus pengoperasian pusat jagaan itu bergantung kepada hasil sumbangan orang ramai termasuklah bagi bayaran sewa tanah kepada pemilik sekitar RM4,000 setahun.

"Untuk bayaran bil-bil kita perlukan tak kurang RM1,500 sebulan, itu tidak termasuk lain-lain perbelanjaan makanan dan keperluan sekolah.

"Alhamdulillah, masih mencukupi kerana ramai yang prihatin dan mahu menyumbang kepada penghuni di sini," katanya.

Dalam lawatan itu, pusat jagaan berkenaan menerima 25 kit kebersihan antaranya mengandungi cecair pembasmi kuman dan pelitup muka; kotak makanan mengandungi beras dan minyak serta barangan keperluan asas seperti cadar.

Pengerusi MyHeart, Dr Ahmad Luqman Ahmad Shuhaili berkata, sumbangan kit kebersihan itu bagi memberi kesedaran kepada penghuni supaya mengutamakan kebersihan diri dalam fasa pandemik Covid-19.

"Kita mahu anak-anak di sini sentiasa memastikan diri masing-masing dalam keadaan bersih, sekali gus menghindari diri dijangkiti Covid-19," katanya.

Dalam pada itu, Penasihat Kelab Belia Kolej Cosmopoint Ipoh, Ahmad Hanafi Kamarudin berkata, program itu adalah kesinambungan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan bersama pusat jagaan terbabit pada 2017 lalu.

"Untuk program kali ini, kita telah melancarkan kutipan dana sejak sebulan lalu dan wang terkumpul digunakan bagi penyediaan kotak makanan serta barangan keperluan harian untuk kegunaan penghuni di sini," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!