Kompleks Perhatin RM15 juta manfaatkan 250 anak yatim, miskin

Fuad (dua dari kanan) menyempurnakan majlis pecah tanah Kompleks Perhatin di Seksyen 24 pada Rabu.
Fuad (dua dari kanan) menyempurnakan majlis pecah tanah Kompleks Perhatin di Seksyen 24 pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pembinaan Kompleks Pertubuhan Anak Yatim/ Miskin Bandaraya Shah Alam, Selangor (Perhatin) membabitkan kos RM15 juta dijangka bermula tahun depan.

Yang Dipertua Perhatin, Datuk Salamon Selamat berkata, kompleks merangkumi asrama pelajar, blok pentadbiran dan pejabat, dewan makan dan rumah warden bakal memberi manfaat kepada 250 pelajar.

Menurutnya, pembinaan kompleks itu bagi pembangunan insan pelajar membabitkan penyediaan latihan dan pembentukan karier.

"Anak yatim dan miskin yang ditempatkan di situ disediakan modul pengajian tahfiz, akademik dan kemahiran (TVET) yang boleh digunakan selepas tamat belajar di institusi ini," katanya pada Rabu.

Pada Rabu, telah diadakan Majlis Pelancaran Kutipan Sumbangan Tabung Kompleks Perhatin dan Upacara Pecah Tanah dirasmikan Datuk Bandar Shah Alam, Dr Nor Fuad Abdul Hamid

Beliau berkata, Kompleks Perhatin adalah di bawah Kompleks Warisan di tanah Seksyen 24 Shah Alam yang diperuntukkan bagi golongan Warga Emas, Ibu Tunggal dan Anak Yatim.

"Kompleks warga emas telah disiapkan, kompleks ibu tunggal sedang dalam kemajuan dan kini kompleks anak yatim yang baru selesai proses kelulusan tanah.

"Pada Rabu, telah dilancarkan fasa dua bagi membolehkan kutipan dana dilancarkan. Setakat ini sebanyak RM800 000 dana telah terkumpul dan kita mengalu-alukan sumbangan daripada pihak luar," katanya.

Katanya, tapak serta pelan bangunan telah disiapkan dan jangkaan projek bermula antara pertengahan atau hujung tahun depan.

Tambahnya, projek dijangka mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.