Covid-19: MTUC terima aduan 1,500 pekerja kilang dalam ketakutan

Wan Noorulazhar
Wan Noorulazhar
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Selangor dan Wilayah Persekutuan mendedahkan pihaknya menerima aduan terdapat 1,500 pekerja di sebuah kilang di Kuala Langat bekerja dalam ketakutan berikutan penularan mendadak wabak Covid-19 di kilang terbabit sejak 21 Februari lalu.

Pengerusi MTUC Selangor dan Wilayah Persekutuan, Wan Noorulazhar Mohd Hanafiah berkata, beliau dimaklumkan gelombang pertama berlaku di kilang tersebut pada awal bulan lalu apabila 19 pekerja disahkan positif.

Menurutnya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat telah membuat lawatan ke kilang terbabit dan menasihati pihak premis itu mematuhi garis panduan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Katanya, sekitar 1,500 pekerja juga telah diarah membuat ujian saringan sebelum 28 orang disahkan positif Covid-19.

"Gelombang kedua secara tiba-tiba menyerang kilang tersebut bermula 21 Februari lalu apabila beberapa pekerja yang tidak sihat didapati positif Covid-19 selepas membuat pemeriksaan kesihatan.

"Seterusnya seorang demi seorang pekerja disahkan positif dan kesan penularan mendadak mengakibatkan sekumpulan 400 pekerja telah diarahkan membuat saringan," katanya.

Beliau berkata, sehingga Ahad, 70 pekerja (pengesahan daripada pekerja) tidak termasuk jumlah keluarga disahkan positif.

Katanya, lebih menyedihkan majoriti pekerja di kilang tersebut adalah wanita dan berkeluarga.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat beberapa pekerja telah dijangkiti bersama keluarga mereka termasuk bayi berusia tiga bulan telah ditempatkan di Hospital Sungai Buloh.

"Kesan jangkitan ini juga menyebabkan seorang pekerja kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU). Lebih menggusarkan apabila pekerja di kafeteria dan pasar mini dalam kilang itu juga dikesan positif," katanya.

Jelasnya, beliau dimaklumkan hanya kumpulan pengurusan mendapat kelonggaran bekerja dari rumah manakala kesemua pekerja pengeluaran perlu hadir bekerja.

Dakwa beliau, pekerja yang membuat saringan tidak diberikan cuti malah diarah bekerja seperti biasa hingga mendapat keputusan.

"Adalah menjadi persoalan apabila seorang pekerja itu positif bagaimana untuk mengesahkan kontak rapat sesama mereka kerana semasa menunggu keputusan mereka masih bekerja dan telah berhubung rapat.

"Saya dimaklumkan sejak gelombang pertama berlaku, proses sanitasi dilakukan di dalam kawasan pejabat serta bahagian pengeluaran terhad dan meragukan kerana difahamkan akan memberi kesan kepada produk, dikeluarkan kilang terbabit," katanya.

Wan Noorulazhar berkata, beberapa pekerja ada membuat pertanyaan kepada PKD berkaitan status kes positif di kilang mereka selepas kes positif yang naik mendadak, namun lebih memeranjatkan apabila pihak terbabit memaklumkan tidak menerima sebarang laporan daripada syarikat kecuali laporan bagi gelombang pertama sahaja.

Katanya, disebabkan itu beberapa pekerja mengumpul data untuk dilaporkan kepada pegawai PKD untuk tindakan selanjutnya.

Menerusi inisiatif tersebut, pekerja kilang berharap pihak berwajib tidak mengambil mudah dan menunggu sehingga ramai lagi pekerja dijangkiti dan seterusnya hingga ke tahap kritikal.

"Kesan kes yang naik mendadak ini membuatkan pekerja dalam ketakutan untuk bekerja tetapi tiada pilihan kerana pihak pengurusan mengambil keputusan untuk mengekalkan operasi dan bekerja selagi pekerja itu tidak positiif Covid-19.

"Mereka membuat aduan kepada MTUC Selangor dan Wilayah Persekutuan untuk mendesak pihak berkenaan segera bertindak," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya memberi peringatan kepada pihak majikan agar sentiasa mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja kerana ia adalah tanggungjawab syarikat apabila pekerja memasuki premis syarikat.

Sementara itu Sinar Harian sedang mendapatkan komen daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berhubung isu tersebut.