Sarjan dipenjara lapan bulan, mengaku salah terima suapan RM12,500

Mohd Izzham dihukum penjara selama lapan bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa
Mohd Izzham dihukum penjara selama lapan bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Seorang anggota polis berpangkat sarjan dipenjara lapan bulan selepas mengaku bersalah di mahkamah sesyen di sini pada Selasa atas 34 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM12,500 pada 2019 hingga tahun lepas.

Tertuduh, Mohd Izzham Halim, 36, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di depan Hakim, Mohd Azhar Othman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menerima suapan antara RM50 hingga RM3,200 daripada seorang individu melalui akaun bank, sebagai dorongan untuk menyalurkan maklumat pergerakan operasi pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Kemaman antara 26 Disember 2019 hingga 10 Mac tahun lepas.

Sebelum ini kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, Mohd Izzham hari ini mengaku bersalah bagi 34 pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 165 kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh di hadapan Mohd Azhar.

Peguam, Nurul Najmi Adila Md Nasir yang mewakili tertuduh mengemukakan rayuan memohon agar anak guamnya hanya dikenakan hukuman penjara dalam tempoh minimum.

Dalam rayuan itu, Nurul Najmi Adila memberi alasan anak guamnya penyara tunggal dalam keluarga selain menyara isteri dan dua anak yang masih kecil.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Farah Yasmin Salleh memohon satu hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira kesalahan dilakukan telah mencemarkan imej penjawat awam dan selaku pihak berkuasa yang diamanahkan menjaga keselamatan negara.

Mengambil kira hujah kedua belah pihak, Mohd Azhar menjatuhi hukuman penjara terhadap tertuduh bermula pada 14 Mac lepas.