Giliran UMNO persoal kelulusan permit tanah 400 hektar

Saarani (tengah) pada sidang media, hari ini.
A
A

IPOH - UMNO Perak mendesak kerajaan memberi penjelasan secara telus berhubung kelulusan permit ke atas sebuah syarikat bagi mengusahakan ladang seluas 400 hektar di daerah Kinta, Disember lalu.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, maklumat terbaharu yang diperoleh menunjukkan syarikat yang baru ditubuhkan Julai tahun lalu itu didaftarkan atas nama dua individu bergelar Datuk.

Menurutnya, selain hanya bermodalkan RM2, syarikat itu juga tidak mempunyai pejabat operasi dan semakan menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati syarikat itu menggunakan alamat sebuah pejabat guaman di Taiping.

"Bagaimana sebuah syarikat yang tidak mempunyai pejabat operasi dan hanya bermodalkan RM2 boleh mendapat tanah hutan sehingga 1000 ekar.

"Apakah ada lagi syarikat-syarikat bermodalkan sama diberikan tanah-tanah kerajaan, mereka perlu dedahkan dan beri jawapan dengan lidah yang fasih," katanya pada sidang media di Bangunan UMNO Perak, hari ini.

Saarani berkata, kemungkinan syarikat berkenaan ditubuhkan semata untuk mendapatkan permit projek memandangkan tempoh penubuhan syarikat dan kelulusan yang diterima berlaku dalam tempoh yang singkat.

Menurutnya, pada pentadbiran BN lalu, sebarang kelulusan permit yang diberikan kepada sesebuah syarikat perlu disertakan kajian dan sokongan daripada jabatan atau sumber-sumber yang pasti sebelum diberikan kelulusan.

"Sebab itu dulu kita serah kepada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) kerana mereka ada kepakaran dalam menguruskan tanah dan dalam hal-hal pembalakan pula kita berikan kepada kilang-kilang kayu.

"Ia bukan satu proses permohonan yang mudah apatah lagi bagi syarikat yang baru ditubuhkan," katanya.

Saarani berkata, pendedahan demi pendedahan berhubung isu hutan sejak kebelakangan ini membuktikan seolah ada sesuatu yang tidak kena dalam pengurusan hutan negeri dibawah pentadbiran PH.

Menurutnya, PH sebelum ini berjanji melaksanakan tender terbuka, sistem yang kononnya lebih telus dan adil dalam pemberian kawasan pembalakan, namun apa yang berlaku tidak seperti dilaungkan.

"Dalam keghairahan mereka bertungkus lumus mencari kesalahan mengaitkan kerajaan lama dengan amalan korup, kini mereka sendiri sedang melakukan.

"Rakyat sedang bercakap, mendengar dan memerhati, mereka juga sedang mengadili dan tidak lama lagi rakyat akan menghukum," katanya.