Bidaan nombor pendaftaran KFC cecah lebih RM2 juta

Abdul Rahman (tengah) selepas sidang akhbar di JPJ Kedah di Suka Menanti, Alor Setar pada Isnin.
Abdul Rahman (tengah) selepas sidang akhbar di JPJ Kedah di Suka Menanti, Alor Setar pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Plat nombor pendaftaran KFC yang tamat bidaan melalui aplikasi JPJebid pada 17 Februari lalu berjaya mengutip hasil sebanyak RM2,018,364.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, bidaan nombor tersebut telah dibuka pada 13 Februari dan berlangsung selama lima hari.

Menurutnya, seramai 3,118 individu telah membida nombor siri tersebut dan plat KFC 7 muncul bidaan tertinggi iaitu sebanyak RM52,000 diikuti KFC 9 sebanyak RM48,000.

"JPJebid ini menawarkan ketelusan bermula daripada transaksi pendaftaran sehingga pembayaran dibuat.

"Pembida boleh mengetahui kedudukan (ranking) secara 'realtime' dan tiada unsur-unsur campur tangan manusia," katanya pada sidang akhbar di JPJ Kedah, Suka Menanti, dekat sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, nombor pendaftaran KFC cukup sinonim dengan jenama popular restoran makanan segera dan pasukan bola sepak Kedah.

Menurutnya, perkara itu menjadi antara faktor nombor kenderaan tersebut mendapat permintaan yang tinggi.

"Sebelum ini juga bagi nombor tender siri KFB pula berjaya mengutip hasil RM714,217 apabila dibuka atas talian pada 3 Disember hingga 7 Disember.

Artikel Berkaitan:

"Nombor bidaan tertingginya adalah bagi KFB 1 sebanyak RM92,222,"katanya.

Pada 15 Februari lalu, Sinar Harian melaporkan, JPJ Kedah menyasarkan kutipan bidaan nombor pendaftaran KFC itu bakal melonjak melebihi RM1 juta.

Sebelum ini JPJ Kedah memperoleh lebih RM1.2 juta bagi bidaan siri nombor pendaftaran KFA yang sinonim dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Bidaan tertinggi yang direkodkan adalah nombor pendaftaran KEN mencecah kutipan RM4.8 juta pada tahun 2016.