Benarkah legislatif sudah lumpuh?

A
A
A

SEBAGAIMANA lazimnya, kebertanggungjawaban kerajaan merupakan salah satu amalan yang menunjangi prinsip demokrasi yang baik dan berkesan. Kebertanggungjawaban kerajaan adalah satu amalan yang menekankan bahawa kesemua tiga cabang utama kerajaan iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman bertanggungjawab dan boleh dipertanggungjawabkan antara satu sama yang lain. Dalam bahasa mudah, ketiga-tiga badan ini sentiasa diawasi dan mengawasi antara satu sama lain.

Walaupun ketiga-tiga badan itu terpisah dan mempunyai bidang kuasa serta peranan tersendiri, mereka terikat dengan satu mekanisme pengasingan kuasa menerusi peranan semak dan imbang. Maka di sinilah mulanya amalan kebertanggungjawaban kerajaan yang tujuannya untuk memastikan setiap cabang tidak bertindak secara berwenang tanpa dipertanggungjawabkan kepada mana-mana cabang lain.

Peranan semak dan imbang itu telah dijelaskan dalam penulisan lalu cuma ia tidak menyentuh tentang amalan kebertanggungjawaban kerajaan yang selalunya seiring dengan peranan semak dan imbang.

Penulisan kali ini menyentuh hal tersebut kerana terdapat kebimbangan bahawa cabang legislatif sudah lumpuh disebabkan proklamasi darurat. Ia berkait rapat dengan penggantungan Parlimen sejak 11 Januari lalu yang secara langsung menghentikan pertanggungjawaban kementerian (eksekutif) kepada Parlimen (legislatif).

Untuk rekod, pertanggungjawaban kementerian ini jelas termaktub dalam Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan dengan pernyataan bahawa 'jemaah menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen'. Secara mudah, fasal itu bermaksud segala perihal setiap kementerian akan dipertanggungjawabkan secara terus di dalam Parlimen. Jadi, secara tidak langsung Parlimen boleh menyoal setiap hal ehwal kementerian bagi menjamin kebertanggungjawaban kerajaan agar lebih telus, berintegriti dan berkesan.

Disebabkan itu, maka wajar ada keraguan terhadap permasalahan itu.

Jelas, menggantung Parlimen akan melumpuhkan perjalanan pertanggungjawaban kementerian dan menyekat peranan semak dan imbang dalam amalan demokrasi negara. Ketika ini, memang wujud keperluan melakukan darurat atas ancaman keselamatan yang besar. Tidak ada kompromi dalam mendepani Covid-19 dengan apa cara sekali gus.

Alternatif

Artikel Berkaitan:

Namun, mematikan kebertanggungjawaban kerajaan dengan menggantung terus ruang bersoal jawab di Parlimen tanpa sebarang alternatif juga tidak betul. Membiarkan kerajaan tanpa sebarang pengawalan dan pertanggungjawaban akan mengundang pelbagai masalah.

Apakah tiada ruang langsung untuk membolehkan Parlimen berfungsi seperti biasa kalaupun darurat dikuatkuasakan? Memang ada peruntukan dalam perlembagaan menerusi Perkara 150 (3) yang membolehkan sidang Parlimen dilakukan. Namun, Perkara 150 (2B) juga membenarkan ia untuk ditangguhkan atau digantung ketika atau dalam keadaan darurat dilakukan selepas Yang di-Pertuan Agong memasyhurkan apa-apa ordinan sebagaimana yang didapatinya perlu mengikut hal keadaan sepertimana sekarang (Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021).

Realitinya, ketika ini Parlimen di seluruh dunia sedang menyesuaikan diri dengan realiti baharu hasil daripada Covid-19. Kebanyakan mereka mengubah cara bersidang, sesi pleno (urusan membuat dan meneliti undang-undang) serta sesi soal jawab dan perdebatan mengikut norma baharu.

Di sebalik menggantung sidang Parlimen, mereka memilih melakukannya menerusi pelbagai kaedah dengan bantuan teknologi, antaranya menggunakan persidangan video, Parlimen jarak jauh (remote parliament) atau Parlimen secara maya (virtual parliament).

Banyak juga negara telah menetapkan undang-undang darurat sebagai langkah menangani Covid-19 (walaupun tidak semuanya benar-benar mengisytiharkan darurat berdasarkan undang-undang darurat yang sebenar sama seperti Malaysia), Parlimen mereka tetap terus bersidang dan berfungsi seperti biasa. Kalau itulah yang sedang berlaku, maka kenapa kita tidak turut melakukannya.

Tetapi, kalaulah masih mahu juga untuk menggantung terus sidang Parlimen, apakah ada cara lain untuk memastikan sekurang-kurangnya kebertanggungjawaban kerajaan masih dapat berfungsi seperti biasa? Jawapannya, ya.

Ia boleh dilakukan dengan mewujudkan jawatankuasa khas yang baharu sebagai tambahan kepada Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021. Jawatankuasa Khas itu barangkali boleh dibentuk dalam kalangan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang diluaskan keanggotaannya kepada ahli Dewan Negara yang fungsinya khusus untuk memantau, menyemak dan mempertanggungjawabkan setiap hal ehwal kementerian sepanjang tempoh darurat dilaksanakan. Sekurang-kurangnya ini tidaklah melumpuhkan terus cabang legislatif, tapi hanya tempang sementara tapi masih boleh berjalan.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)