Doktor benar Muhyiddin terima vaksin Covid-19

Muhyiddin Yassin - Foto fail Bernama
Muhyiddin Yassin - Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendapat kebenaran daripada doktor peribadinya untuk menjadi penerima pertama suntikan vaksin Covid-19 yang dijadualkan berlangsung pada 26 Februari ini.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Rabu.

"Sebelum ini saya ada bincang dengannya untuk mendapatkan pandangan doktor peribadi beliau dan doktor sudah bagi 'green light'," katanya pada sidang akhbar di kementeriannya.

Menurutnya, tindakan Muhyiddin itu adalah untuk memberikan keyakinan bahawa ia adalah selamat meskipun merupakan seorang bekas pesakit kanser.

"Masih ada pihak yang ragu-ragu terhadap vaksin ini biarpun lebih 100 juta telah menerima suntikan di seluruh dunia dan tiada kesan sampingan yang serius," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan penilaian risiko, Muhyiddin dikategorikan sebagai kumpulan berisiko kerana bertemu dengan ramai orang setiap hari.

"Beliau terdedah dengan risiko jangkitan Covid-19, begitu juga dengan orang yang bertemunya," katanya.

Khairy berkata, sebelum ini, Muhyiddin telah mendapat maklum balas mengenai suntikan vaksin daripada Presiden Indonesia, Joko Widodo semasa lawatan ke negara itu baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

"Jokowi memaklumkan kepada PM, beliau hanya mengalami sedikit keletihan selepas menerima suntikan vaksin Covid-19, Sinovac," katanya.

Terdahulu, Khairy mengumumkan pelantikan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Keong dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman sebagai Pengarah Bersama Pasukan Pengurusan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bagi menguruskan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menerusi CITF, katanya, perkhidmatan kesihatan yang merangkumi bidang tugasan pengurusan logistik vaksin, pendaftaran bagi mengenal pasti kategori penerima vaksin, pemantauan pasca-vaksinasi, pentadbiran vaksin, pusat imunisasi di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pengurusan sumber manusia akan diselaraskan.

"Ia diselaraskan dengan perkhidmatan bukan kesihatan yang bertanggungjawab bagi pengurusan logistik seperti utiliti, tempat letak kereta, teknologi maklumat (ICT) dan peralatan bukan ICT, dokumentasi, rekod dan pendaftaran pengurusan maklumat geo-gataraya, komunikasi strategik, pentadbir pusat vaksin di fasiliti awam, pengurusan pengangkutan penerima vaksin, pengurusan sumber manusia, bahagian dan agensi dan sukarelawan," katanya.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga akan terlibat sepanjang PICK berlangsung.

"Bagi tujuan pentadbiran, bilik gerakan CITF telah diwujudkan di Aras 3,Blok F1, Parcel F, Presint 1, Putrajaya," katanya.

PICK akan bermula 26 Februari depan selepas negara dijadual menerima bekalan Covid-19 pada Ahad ini.

Sebelum ini, kerajaan dilapor akan memulakan fasa pertama dengan 500,000 petugas barisan hadapan, manakala fasa kedua bermula April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta golongan orang kurang upaya (OKU).

Fasa ketiga merangkumi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas dari Mei ini hingga Februari tahun depan.