Indonesia perkenal kaedah pengundian baharu PRU

No Image Caption
A
A
A

KUCHING – Suruhanjaya Pilihan Raya Republik Indonesia akan memperkenalkan pendekatan lebih berkesan bagi memastikan peratusan jumlah pengundi yang lebih tinggi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka di Sarawak dalam pilihan raya umum pada 17 April tahun ini.

Pengerusi Panitia Pemilihan Luar Negeri (PPLN) Kuching Adi Dewanto berkata dalam usaha memastikan lebih ramai pengundi keluar mengundi, pekerja pilihan raya akan ditugaskan di ladang dan kilang di seluruh Sarawak, iaitu tempat bekerja warga Indonesia yang layak mengundi.

"Semasa pilihan raya umum lepas, ramai pengundi yang layak mengundi tidak dapat mengundi disebabkan jarak pusat pengundian yang jauh dari tempat kerja mereka.

"Kali ini, kira-kira 1,437 pekerja pilihan raya akan ditugaskan di 479 pusat pengundian dengan membawa kotak mengundi mudah alih untuk mengendalikan pengundian bergerak, membabitkan pekerja ladang dan kilang, malah kepada mereka yang berada di kawasan pedalaman di negeri ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kaedah yang baru diperkenalkan itu dikenali sebagai ‘Kotak Suara Keliling’, yang menurut Adi, akan diuruskan dan diiringi oleh sebuah jawatankuasa kecil, di mana proses pilihan raya akan diadakan dalam lingkungan premis kerja dan ladang itu sendiri, tempat para pekerja terbabit berada.

Adi berkata berdasarkan kaedah baharu ini, hari pengundian akan diadakan pada 8 dan 9 April, manakala tiga pusat pengundian juga akan dibuka di Pejabat Konsul Besar Indonesia di Jalan Stutong di sini pada 14 April dari 8 pagi hingga 5 petang.

“Terdapat kira-kira 140,000 warga Indonesia yang layak mengundi di Sarawak, dan jumlahnya semakin meningkat kerana setiap dua minggu kami perlu mengemaskini jumlah itu dan menghantar laporan ke Jakarta," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pengundi warga Indonesia yang layak mengundi supaya melaksanakan hak mengundi mereka dalam cara yang langsung, bebas, sulit, jujur dan adil.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga ingin meminta semua majikan warga Malaysia yang menggaji mana-mana pekerja Indonesia supaya memberi sepenuh bantuan dan kerjasama dengan membenarkan pekerja masing-masing mengambil bahagian dalam proses pilihan raya ini,” kata Adi.

Pada 17 April ini, kira-kira 190 juta pengundi Indonesia bakal mengundi untuk memilih presiden dan naib presiden republik berkenaan, selain memilih anggota Dewan Perwakilan Rakyat, kesemuanya secara serentak.

Penyandang presiden, Joko Widodo akan dicabar oleh Prabowo Subianto.- Bernama