Serah pada kerajaan rundingan pembebasan 47 rakyat Malaysia

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Serahkan kepada pihak berkuasa Malaysia dan Kemboja untuk merundingkan pembebasan 47 warganegara Malaysia yang kini ditahan di penjara Kemboja, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

"Tak payah heboh-heboh, takut-takut ia boleh menjejaskan rundingan antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Kemboja untuk mendapatkan pembebasan mereka yang ditahan itu," kata beliau.

Kesemua 47 rakyat Malaysia itu (37 lelaki dan 10 perempuan) ditahan di Kemboja sejak 11 Disember tahun lepas kerana disyaki terlibat dalam operasi perjudian haram di negara itu.

Bagaimanapun, kemudian terbongkar bahawa mereka sebenarnya menjadi mangsa penipuan sindiket yang telah memperdaya mereka untuk ke Kemboja dengan janji tawaran kerja bergaji lumayan.

Laporan media hari ini memetik seorang pegawai kanan Kemboja sebagai berkata mereka akan dibebaskan tidak lama lagi.

Pengarah Wilayah Banteay Meanchey di Kemboja, Um Siphan berkata para pegawai sedang membuat persiapan untuk membebaskan kesemua tahanan warganegara Malaysia itu.

Laporan RFA Khmer Service memetik Um Siphan sebagai mengesahkan bahawa kumpulan yang terdiri daripada 37 lelaki dan 10 perempuan itu akan dibebaskan tidak lama lagi tetapi beliau tidak memberikan tarikh sebenar pembebasan mereka.

“Ketua menteri kita (Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) telah meminta saya melawat keluarga mangsa-mangsa dan memberi penjelasan kepada mereka mengenai perkara ini kerana kes ini melibatkan dua negara (Malaysia dan Kemboja) dan ia satu isu yang sensitif yang perlu ditangani secara profesional," kata Fatimah kepada pemberita ketika mengunjungi rumah keluarga seorang daripada tahanan itu, Nur Ridwana Syahzani, 21, di Flat Taman Sri Wangi di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata Wisma Putra (Kementerian Luar Negeri Malaysia) akan sentiasa memaklumkan perkembangan terkini kes itu kapada kerajaan negeri dan keadaan semasa para tahanan berkenaan.

“Sebelum kes ini jadi heboh di media, kerajaan Malaysia sudahpun mula berunding dengan kerajaan Kemboja," tambah beliau.

"Ia satu kes yang sangat sensitif, jadi kita mesti berhati-hati," katanya yang menambah, rundingan itu setakat ini berjalan lancar.

“Memandangkan ia satu kes polis, kita perlu menunggu hasil siasatan (polis) bagi mendapat gambaran apa yang yang sebenarnya berlaku," tambah Fatimah.

Katanya kerajaan negeri sudah melantik peguam-peguam untuk memberi perkhidmatan guaman terbaik bagi membolehkan mereka dibebaskan dan pulang ke Sarawak dengan selamat.

Sementara itu, Fatimah berkata kementeriannya akan memberi khidmat kaunseling kepada ahli keluarga mangsa-mangsa dan menambah, kementerian itu mempunyai kaunselor profesional untuk melaksanakan tugas itu.

Sementara itu , ibu kepada Nur Ridwana, Marsita Mohamad, 49, berkata beliau berharap anaknya akan dibebaskan dan pulang ke rumah tidak lama lagi.

Beliau berkata beliau sebenarnya tidak tahu kenapa anaknya ditahan. - Bernama