Premis 'lombong' bitcoin diserbu

Shahrul Lalli (tengah) menunjukkan sebahagian mesin lombong bitcoin yang dirampas dalam serbuan di Pulau Sebang, Alor Gajah pada Rabu.
Shahrul Lalli (tengah) menunjukkan sebahagian mesin lombong bitcoin yang dirampas dalam serbuan di Pulau Sebang, Alor Gajah pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Polis menyerbu sebuah premis yang menjalankan aktiviti 'melombong' mata wang digital bitcoin hingga menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerugian RM648,000 di pekan Pulau Sebang di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Alor Gajah bersama-sama penguat kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) memecah masuk premis dua tingkat itu.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Shahrul Lalli Masduki berkata, aktiviti itu dikesan selepas pasukan penguat kuasa mendapati berlaku penyambungan bekalan elektrik secara haram yang tidak mengikut peraturan Pencawang Padat TNB.

Beliau berkata, premis itu dipercayai menjalankan kegiatan 'melombong' bitcoin sejak dua bulan lalu dan pemeriksaan lanjut akaun bil elektrik premis terbabit mendapati mereka hanya membayar sebanyak RM10 sebulan.

700 unit lombong Bitcoin yang ditemui dan dirampas dalam sebuah premis di Pulau Sebang, Alor Gajah pada Rabu.
700 unit lombong Bitcoin yang ditemui dan dirampas dalam sebuah premis di Pulau Sebang, Alor Gajah pada Rabu.

Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan kadar elektrik di bangunan itu merekodkan penggunaan semasa arus lebih 3,000 ampere (Amp) iaitu kira-kira RM324,000 sebulan bagi kegunaan mesin bitcoin.

"Pasukan polis membuat intipan pada hari sama. Ketika serbuan premis itu didapati tidak mempunyai penjaga sebelum kita bertindak memecah masuk ke dalam bangunan dua tingkat berkenaan.

"Pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat pemasangan kabel bekalan elektrik secara haram dan menjumpai 700 unit mesin lombong bitcoin," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, seorang lelaki berusia 35 tahun yang berada di lokasi berkenaan ditahan dan direman selama dua hari sehingga Jumaat bagi membantu siasatan.

Shahrul Lalli (kiri) menunjukkan wayer dan kabel haram yang dirampas dalam sebuah premis di Pulau Sebang, Alor Gajah pada Rabu.
Shahrul Lalli (kiri) menunjukkan wayer dan kabel haram yang dirampas dalam sebuah premis di Pulau Sebang, Alor Gajah pada Rabu.

Menurutnya, modus operandi kegiatan itu ialah dengan memilih lokasi terpencil dan bangunan kedai yang tidak mempunyai ramai peniaga bagi menyembunyikan bunyi bising daripada mesin tersebut.

"Kita merampas kesemua 700 mesin bitcoin dan peralatan digunakan bagi kegiatan tersebut.

"Ini merupakan rampasan terbesar membabitkan sindiket bitcoin bagi wilayah Selatan dan siasatan lanjut masih diteruskan, " katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri arus elektrik dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990.