Ringgit ditutup rendah seiring prestasi mata wang serantau

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT meneruskan momentum penurunannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Khamis, seiring dengan prestasi mata wang serantau dan di tengah-tengah pendirian bank pusat AS yang kekal cenderung menaikkan kadar faedah, kata penganalisis.

Pada jam 6 petang ini, ringgit berada di paras 4.6235/6280 berbanding dolar AS daripada 4.6195/6235 pada akhir urus niaga semalam.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, pasaran sememangnya bersedia dengan tindakan Rizab Persekutuan AS (Fed) untuk menangguhkan kenaikan kadar faedah dan jangkaan peningkatan satu mata kepada 25 mata asas pada bulan ini.

Bagaimanapun, bank pusat AS itu sebaliknya bertindak menaikkan kadar itu ke paras lebih tinggi iaitu pada panduan 50 mata asas yang merupakan kenaikan sebanyak dua kali.

"Tindakan itu lebih tinggi daripada jangkaan awal pasaran dan akibatnya dolar AS lebih mengukuh berbanding ringgit. Namun selepas kejutan awal itu reda, pasaran akan menumpukan kepada data ekonomi dan metrik inflasi berbanding panduan Fed.

"Memandangkan inflasi AS dijangkakan menurun pada musim panas ini, saya berpendapat bahawa dolar AS akan turut lemah sedikit. Pada masa sama, penyusutan ringgit juga berkemungkinan menghampiri paras kemuncaknya berikutan langkah China melaksanakan langkah rangsangan ekonomi yang akan mendorong eksport Malaysia ke negara itu,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, unjuran Kadar Dana Fed sebanyak 5.6 peratus menjelang akhir tahun daripada jangkaan 5.1 peratus sebelum ini, juga hanya membuktikan pendirian Fed yang kekal dengan pendirian menaikkan kadar faedahnya dari segi dasar monetari.

"Mungkin ini yang menyumbang kepada pengukuhan dolar AS pada hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama dunia.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2781/2816 daripada 3.3015/3046 namun rendah berbanding pound Britain kepada 5.8543/8600 daripada 5.8423/8473 semalam dan susut berbanding euro kepada 5.0151/0200 daripada 4.9918/9962.

Bagaimanapun, unit tempatan itu mencatat prestasi bercampur-campur berbanding mata wang Asean.

Ia mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.2783/2981 daripada 13.3192/3380 sebelum ini namun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4442/4481 daripada 3.4433/4465.

Ringgit juga meningkat berbanding rupiah Indonesia pada 309.1/309.6 daripada 309.8/310.3 namun kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.26/8.27. - Bernama