Sepakat bentuk mata wang Islam

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KEJATUHAN ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bukan sahaja dirasai mereka yang berurus niaga saham di pasaran antarabangsa tetapi turut dirasai oleh semua pedagang dan pelabur komersial serta mereka yang mempunyai anak yang belajar di luar negara.

Namun yang paling terasa ketika ini ialah mereka yang mengerjakan haji di Arab Saudi. Menerusi papan tukaran mata wang di mana-mana kiosk sama ada di Malaysia atau di tanah haram, nilai tukaran wang antara ringgit dan riyal mencecah sekitar RM122 bagi setiap 100 riyal.

Pengalaman bertugas semasa di Makkah pada tahun 2015, nilai tukaran ketika itu untuk 100 riyal hanyalah sekitar RM90 ke RM98. Namun pada waktu itu, nilai tukaran ringgit telah pun terasa tinggi berbanding mata wang negara berkenaan.

Pada waktu yang sama, jemaah mulai merasa tertekan disebabkan terdapat sesetengah pengurup wang tidak menerima wang ringgit sebaliknya meminta wang dolar AS sebagai tukaran mata wang.

Walaupun Tabung Haji telah menyediakan segala keperluan makan, minum serta penginapan namun jemaah perlu mempunyai wang saku untuk berbelanja kecil seperti tambang menaiki bas atau teksi untuk menunaikan umrah dan membeli keperluan harian.

Namun mujur, kerana Tabung Haji di sesetengah maktab ada menyedia kaunter tukaran wang bagi kemudahan jemaah untuk urusan kewangan iaitu dari segi tukaran wang, kiriman wang, transfer fund dan sebagainya.

Melihat ke hadapan, sesuatu perlu dilakukan menerusi persefahaman baik dan jalinan kukuh antara Arab Saudi dan Malaysia.

Walaupun kenaikan atau penurunan mata wang adalah di luar kawalan kedua pihak disebabkan kuasa mata wang dolar dan aliran ekonomi global. Mungkin satu tindakan proaktif boleh diusahakan menerusi kerjasama kewangan kedua negara khusus di waktu musim haji atau tempoh masa tertentu.

Mungkin juga sudah tiba masanya, Bank Pembangunan Islam (IsDB) yang dianggotai oleh 57 negara Islam sepakat berbincang pembentukan mata wang Islam bagi mengurangkan pergantungan kepada dolar sebagai medium yang kini banyak mempengaruhi kos rantaian global.

Sepatutnya kos haji boleh dibincangkan oleh negara anggota kerana masyarakat Islam mempunyai ramai pakar kewangan dan badan profesional global dan beransur-ansur kurangkan pengaruh dolar pada masa akan datang.