X

Kindly register in order to view this article
!

'Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat berkaliber, berintegriti'

Wan Saiful Wan Jan
A
A

SHAH ALAM - 19 ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah mereka yang berkaliber dan berintegriti.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan yakin jawatankuasa itu dapat membuat pertimbangan terbaik untuk menentukan darurat perlu diteruskan atau boleh ditamatkan lebih awal.

"Tidak ada sesiapa yang boleh mempersoal kredibiliti ahli jawatankuasa diumumkan kerana bilangan ahli Parlimen kerajaan hanya sebahagian kecil sahaja, manakala majoritinya adalah tokoh profesional.

"Saya harap wakil-wakil pembangkang dalam jawatankuasa ini akan turut bersikap profesional," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada Selasa berkata, jawatankuasa ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021itu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Menurut kenyataan itu, jawatankuasa tersebut berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya.

Selain Tun Ariffin, 18 lagi anggota menyertai kumpulan jawatankuasa itu termasuklah bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai.

Dalam kalangan ahli politik pula jawatankuasa itu turut melibatkan tiga ahli Parlimen pembangkang dan salah seorangnya ialah Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Wan Saiful berkata, pada 21 Januari lalu, pembangkang sudah mengatakan bahawa walaupun mereka menghantar wakil ke dalam jawatankuasa itu, mereka kekal dengan pandangan mahu darurat ditamatkan.

"Jangan pula sebelum dapat pembentangan data dan maklumat sudah ada keputusan yang hanya berpandukan nafsu politik," sindir Wan Saiful.

Katanya, pembentukan jawatankuasa ini melambangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serius dalam memastikan nasihat yang diberi kepada Yang di-Pertuan Agong adalah tepat dan berpandukan data.

ARTIKEL BERKAITAN: 19 dilantik anggotai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!