Jawatankuasa khas ditubuh perkasa fungsi, hala tuju Perhebat

Adly (tengah) pada sidang media sempena Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia Dan Penyampaian Sijil Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) di Kompleks Perhebat Sungai Buloh, pada Selasa. - Foto Bernama
Adly (tengah) pada sidang media sempena Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia Dan Penyampaian Sijil Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) di Kompleks Perhebat Sungai Buloh, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

SUNGAI BULOH - Jawatankuasa khas bagi memperkasakan fungsi dan hala tuju Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) akan ditubuhkan dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, langkah itu bagi memastikan Perhebat terus proaktif dalam memperkukuh kurikulum dan penyampaian program latihannya, sekali gus menjadi penghubung utama bagi persiapan kerjaya kedua kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Jawatankuasa khas ini antaranya akan berfungsi menghubungi bekas tentera dan mengumpul maklumat mereka serta mengemas kini data agar Perhebat dapat menjalankan pemantauan lima tahun pertama (bagi veteran ATM yang telah tamat latihan di Perhebat) secara khusus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia (Program Recognition of Prior Experiential Learning-RPEL) dan Sijil Perhebat kepada veteran ATM di Dewan Jubli Perak, Kompleks Perhebat, Kem Sungai Buloh, di sini.

Adly berkata, jawatankuasa itu juga akan membantu melaksanakan program peningkatan kemahiran dan latihan semula untuk bakal pesara ATM sebagai persediaan menghadapi kerjaya kedua.

Sementara itu, Adly berkata, kementerian menerusi Kertas Putih Pertahanan akan terus memberi keutamaan kepada insiatif pembangunan modal insan dan sosioekonomi bakal pesara dan veteran ATM.

"Ini merangkumi penyediaan Program Latihan Peralihan dalam bidang teknikal, vokasional dan keusahawanan sebagai pemangkin kerjaya kedua veteran ATM,” katanya.

Menurut Adly, hingga 31 Mei lepas, seramai 5,252 anggota dan pegawai ATM telah memilih pusat latihan dan bimbingan Perhebat sebagai tempat persediaan persaraan mereka.

Katanya, sambutan menggalakkan dan peningkatan keyakinan anggota terhadap Pusat Latihan dan Bimbingan Veteran telah mendorong Perhebat untuk mewujudkan 16 pusat seumpama itu di 10 buah negeri.

Terdahulu, Adly menyampaikan diploma dan sijil tamat latihan kepada 606 anggota dan veteran ATM. - Bernama