Berhati-hati pilih lokasi beriadah - Al-Sultan Abdullah

Eiyi (kiri) menerima replika cek daripada wakil Takaful disaksikan Al-Sultan Abdullah di Masjid Ubbudiah Felda Lepar Hilir 3 pada Isnin.
Eiyi (kiri) menerima replika cek daripada wakil Takaful disaksikan Al-Sultan Abdullah di Masjid Ubbudiah Felda Lepar Hilir 3 pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin bertitah mengingatkan rakyat untuk lebih berhati-hati dalam pemilihan lokasi beriadah.

Walaupun bencana boleh berlaku di mana-mana, Al-Sultan Abdullah bertitah adalah lebih baik jika langkah berwaspada diambil bagi mengelakkan risiko kejadian tidak diingini.

"Saya harap (semua) lebih berhati-hati... elok ambil periksa sebelum membawa keluarga ke tempat baharu," titah Seri Paduka kepada pemberita di Masjid Ubbudiah di Felda Lepar Hilir 3 di sini pada Isnin.

Terdahulu, Seri Paduka berkenan mencemar duli menyantuni keluarga mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Terengganu yang berlaku awal bulan ini, melibatkan 10 individu termasuk sembilan sekeluarga dari Felda berkenaan.

Seri Paduka yang berangkat tiba pada 12.50 tengah hari juga berkenan menyertai majlis tahlil yang dipimpin Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, sebelum turut menunaikan solat Zuhur berjemaah bersama penduduk.

Al-Sultan Abdullah yang menzahirkan simpati dan turut bersedih dengan tragedi itu juga menasihatkan keluarga waris untuk bersabar dengan ujian ALLAH SWT dan mendoakan semua mangsa ditempatkan bersama golongan beriman.

Seri Paduka juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak termasuk agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat dalam pencarian mangsa, yang setakat ini telah menemukan sembilan mangsa.

"Terima kasih kerana membantu berhabis-habisan yang membolehkan jenazah dibawa pulang untuk dikebumikan. Terima kasih kepada pengurusan Felda yang membantu menguruskan pengebumian tempoh hari," titah Seri Paduka.

Pada 2 Julai lepas, 10 individu hilang selepas dihanyutkan kepala air semasa berkelah di Jeram Air Putih bermula pada petang sehari sebelumnya.

Mereka ialah Karim Abdullah, 39, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya,10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6; Putri Aryana Umaira Karim, 4; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; dan Putri Nor Fatin Karim, 14.

Turut terkorban ialah Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Batu Pahat, Johor iaitu tunang kepada Putri Balqis Izzati.

Setakat ini, mayat Putri Nor Fatin masih belum ditemukan, manakala pengebumian lapan sekeluarga itu selamat dilakukan pada Selasa dan Rabu lepas di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3 manakala Muhammad Fikri dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Kuda, Batu Pahat pada Sabtu lepas. - Bernama